BENGKEL KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN PENGENDALIAN MAJLIS | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » BENGKEL KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN PENGENDALIAN MAJLIS

BENGKEL KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN PENGENDALIAN MAJLIS

KOLEJ CANSELOR –  Bengkel Kemahiran Teknikal & Pengendalian Majlis telah berjaya dilaksanakan pada hari Jumaat, 8 Mei 2026, bermula jam 8.00 hingga 10.30 malam bertempat di Bilik Seminar Dusun, Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia. Program ini merupakan inisiatif sepenuhnya daripada Sekretariat Pendigitalan yang bermatlamat untuk melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan, berkeyakinan, dan profesional dalam aspek teknikal serta pengurusan acara rasmi. Seramai 46 orang peserta telah memberikan komitmen yang tinggi sepanjang bengkel ini berlangsung bagi mempersiapkan diri dengan kemahiran pengurusan organisasi yang lebih mantap.

Pelaksanaan bengkel ini telah dijayakan dengan bimbingan penceramah jemputan yang terdiri daripada staf profesional Kolej Canselor. Sesi dimulakan oleh Encik Mohd Shahrul Aziwan Md. Isa, Pembantu Tadbir di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) merangkap felo penasihat Sekretariat Pendigitalan di Kolej Canselor, yang berkongsi kepakaran mengenai pengendalian asas sistem audio. Beliau memberikan panduan praktikal mengenai penyelarasan peralatan bunyi dan teknik menangani gangguan teknikal bagi menjamin kelancaran sistem suara sepanjang acara berlangsung. Seterusnya, sesi diteruskan oleh Cik Nazibah Kamaruddin, Penolong Ketua Pustakawan di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, merangkap Ketua Felo Kolej Canselor, yang menyampaikan perkongsian mendalam mengenai kaedah pengendalian majlis yang efisien serta teknik dokumentasi yang sistematik. Sesi beliau menekankan kepentingan ketepatan laporan dan protokol dalam memastikan kualiti serta rekod sesebuah penganjuran terpelihara.

Melalui pendekatan yang interaktif, para peserta didedahkan kepada gabungan teori dan panduan praktikal yang menyentuh elemen-elemen penting dalam aspek teknikal audio-visual serta pengurusan logistik majlis. Peserta diberi peluang untuk memahami secara lebih dekat bagaimana sistem audio yang stabil dan dokumentasi yang teratur bertindak sebagai elemen kritikal bagi kejayaan sesebuah majlis profesional. Bimbingan terus daripada staf Kolej Canselor ini memberikan kelebihan kepada peserta untuk mempelajari selok-belok pengurusan majlis mengikut piawaian sebenar yang diamalkan di peringkat kolej dan universiti.

Kesimpulannya, Bengkel Kemahiran Teknikal & Pengendalian Majlis ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada para peserta terhadap dunia pengurusan majlis secara profesional, malah berperanan penting dalam membentuk kemahiran teknikal, kreativiti, serta sikap profesional dalam kalangan pelajar. Impak positif yang terhasil daripada bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti pelaksanaan program mahasiswa pada masa hadapan. Oleh itu, penganjuran bengkel seumpama ini wajar diteruskan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, dan bersedia memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar.

Disediakan oleh: MUHAMMAD DANISH BIN MOHD HELMY | 15 Mei 2026

Tarikh Input: 18/05/2026 | Kemaskini: 18/05/2026 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
X, (07:48:36am-07:53:36am, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]