MALAM GEMILANG CANSELOR 2026 | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » MALAM GEMILANG CANSELOR 2026

MALAM GEMILANG CANSELOR 2026

KOLEJ CANSELOR  –  Pada 27 Jun 2026, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor Sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Malam Gemilang Canselor (MGC) 2026. Malam Gemilang Canselor 2026 merupakan majlis makan malam yang dilaksanakan pada setiap tahun bagi meraikan para pelajar tahun akhir Kolej Canselor. Malam Gemilang Canselor 2026 diadakan untuk menghargai jasa, sumbangan serta kecemerlangan pelajar tahun akhir sepanjang tempoh pengajian dan penginapan di Kolej Canselor.

Majlis ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tuan Mohamad Sabrie Mohamad Salleh selaku tetamu kehormat. Kehadiran beliau bukan sahaja menaikkan imej majlis, malah memberikan suntikan motivasi yang bermakna buat seluruh warga kolej terutamanya para pelajar tahun akhir yang bakal melangkah ke fasa profesional dan alam kerjaya tidak lama lagi.

Kemeriahan majlis bermula dengan pendaftaran para pelajar tahun akhir yang hadir anggun dan segak mengenakan busana yang bertemakan Masquerade. Pengarah Program MGC 2026, Saudara Hilman Zuhairi bin Wahiduddin, dalam ucapan alu-aluan beliau menzahirkan rasa syukur dan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Menurut beliau, Malam Gemilang Canselor bukan sekadar majlis makan malam biasa, ia merupakan simbolik apresiasi tertinggi pihak kolej terhadap ketekunan, daya tahan dan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh pelajar tahun akhir sepanjang berada di bawah naungan Kolej Canselor. Seterusnya, YBhg. Tuan Mohamad Sabrie Mohamad Salleh menyampaikan ucapan perasmian, di mana beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar tahun akhir atas ketabahan serta semangat demi memperoleh segulung ijazah.

Sesi yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh hadirin merupakan perarakan masuk piala pusingan yang membawa kepada sesi penyampaian anugerah Malam Gemilang Canselor 2026. Sebanyak enam kategori anugerah telah dipertandingkan bagi mengiktiraf bakat, kepimpinan, sukan dan akademik iaitu Anugerah Gemilang Canselor selaku anugerah utama, Anugerah Emas Canselor, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan, Anugerah Budayawan dan Anugerah Khas Pengetua.

Suasana dewan bertukar hiba apabila wakil pelajar tahun akhir tampil menyampaikan ucapan khas bagi pihak rakan-rakan seangkatan. Beliau menzahirkan penghargaan mendalam kepada pihak pengurusan Kolej Canselor, para felo dan rakan-rakan yang sentiasa menjadi tulang belakang terbaik sepanjang perjalanan akademik mereka di UPM.

Secara keseluruhannya, Malam Gemilang Canselor 2026 ini telah berlangsung dengan jayanya dan berjaya mencatatkan kehadiran seramai 164 orang yang terdiri daripada para tetamu jemputan, ahli jawatankuasa dan pelajar tahun akhir Kolej Canselor. Kejayaan penganjuran majlis ini bukan sahaja membuktikan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan warga kolej malah berjaya meninggalkan titik memori paling indah yang tidak akan dilupakan oleh para pelajar tahun akhir sebelum melangkah keluar menjadi alumni Kolej Canselor.

Disediakan oleh: Ainur Yasmin Balqis Abdul Fattah | 7 Julai 2026

Tarikh Input: 14/07/2026 | Kemaskini: 14/07/2026 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
X, (10:51:26am-10:56:26am, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]