MALAM ANUGERAH APRESIASI CANSELOR 2026 | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » MALAM ANUGERAH APRESIASI CANSELOR 2026

MALAM ANUGERAH APRESIASI CANSELOR 2026

KOLEJ CANSELOR  –  Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Canselor Sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Malam Anugerah Apresiasi Canselor 2026 (MAAC 2026) pada Jumaat, 19 Jun 2026 di Dewan Sri Pulasan, Kolej Canselor sebagai tanda penghargaan kepada pelajar dan organisasi yang telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang tahun. Program ini adalah untuk menghimpunkan warga Kolej Canselor serta para penerima anugerah ini bagi mengiktiraf pencapaian pelajar dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, kesukarelawanan, sukan dan pengurusan organisasi. Penganjuran MAAC 2026 turut selari dengan Teras Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), iaitu Kehidupan Kampus dan Kebolehpasaran Graduan, yang menekankan pembangunan pelajar secara holistik, berdaya saing serta bersedia menghadapi alam pekerjaan.

Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai kategori anugerah telah disampaikan kepada individu dan organisasi yang cemerlang, antaranya Anugerah Bakti Canselor, Anugerah Visibiliti Media, Anugerah Program Terbaik, Anugerah Sekretariat Terbaik, Anugerah Kelab Terbaik, Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Olahragawan/Olahragawati Aspirasi, Anugerah Sukarelawan Aspirasi, Anugerah Tunas Canselor serta Anugerah Pengarah Terbaik. Pemilihan penerima dibuat berdasarkan prestasi, komitmen dan sumbangan yang memberi impak kepada pembangunan Kolej Canselor dan universiti.

Selain kategori anugerah yang telah disenaraikan, MAAC 2026 turut menyampaikan Anugerah Aspirasi Pengetua, Anugerah Akademik Aspirasi, Anugerah Usahawan/Inovasi, Anugerah Budayawan/Budayawanis Aspirasi dan Anugerah Apresiasi Canselor sebagai pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, kepimpinan, inovasi, keusahawanan, kebudayaan serta sumbangan luar biasa kepada Kolej Canselor. Penyampaian anugerah ini mencerminkan komitmen Kolej Canselor dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan seimbang dari aspek akademik, sahsiah, kepimpinan serta kemahiran insaniah.

Penganjuran MAAC 2026 bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada warga kolej yang cemerlang, malah berjaya meningkatkan keyakinan diri, motivasi serta semangat pelajar untuk terus aktif dalam bidang akademik dan kokurikulum. Di samping itu, majlis ini turut memupuk nilai kepimpinan, sahsiah dan etika melalui pengiktirafan terhadap usaha serta komitmen yang ditunjukkan sepanjang sesi.

Melalui penganjuran program ini, Kolej Canselor turut menyokong usaha universiti dalam memperkukuh reputasinya sebagai institusi yang menghargai bakat, pencapaian dan pembangunan holistik pelajar. Diharapkan MAAC 2026 akan terus menjadi pemangkin kepada budaya kecemerlangan dalam kalangan warga kampus serta mendorong lebih ramai pelajar untuk menyumbang secara aktif kepada universiti dan masyarakat.      

Disediakan oleh: Atiqah Mat Rasik | 12 Julai 2026     

Tarikh Input: 14/07/2026 | Kemaskini: 14/07/2026 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
X, (02:21:31am-02:26:31am, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]