Kursus Pemerkasaan Kepemimpinan Mahasiswa Tertinggi 2023 (KPKMT 2023) | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » Kursus Pemerkasaan Kepemimpinan Mahasiswa Tertinggi 2023 (KPKMT 2023)

Kursus Pemerkasaan Kepemimpinan Mahasiswa Tertinggi 2023 (KPKMT 2023)

Disediakan oleh Nurfarisah Afiqah 

24 September, UPM SERDANG – Kursus Pemerkasaan Kepemimpinan Mahasiswa Tertinggi 2023 (KPKMT 2023) telah berjaya dilaksanakan. Kursus ini telah berlangsung selama lapan hari iaitu bermula pada tarikh 17 September 2023 hingga 24 September 2023 bertempat di Kolej Canselor dan Pulau Redang, Terengganu. Kursus ini juga melibatkan 38 orang Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor, para felo dan staf Kolej Canselor.

Kursus kepemimpinan ini diadakan adalah untuk mengukuhkan peranan dan menyerlahkan lagi daya kepemimpinan serta melahirkan barisan pemimpin pelajar yang berwibawa. Kursus ini juga menyediakan ruang berinteraksi dan perbincangan secara santai kepada para peserta untuk membina potensi diri melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Pada 17 September 2023 yang lalu, telah berlangsungnya raptai Majlis Perasmian Kursus Pemerkasaan Kepemimpinan Mahasiswa Tertinggi 2023 (KPKMT 2023) di Kolej Canselor. Antara aktiviti yang diadakan ialah “Hunter x Hunters” yang dapat mengeratkan ukhuwah di antara Top MPK dan MPK yang lain. Taklimat berkenaan KPKMT 2023 juga telah dilaksanakan sebagai persediaan kepada semua MPK sepanjang kursus berlangsung.

 Selain itu, pada 18 September 2023, hari Isnin yang lalu aktiviti riadah dijalankan bagi melahirkan MPK yang aktif dan sihat tubuh badan. Pada hari tersebut juga, pelbagai slot dan perisian aktiviti yang menarik telah diadakan seperti bengkel pengendalian e-pengurusan kolej (EPK), penetapan matlamat atau kpi, penyemakan kertas kerja, dan slot bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Taklimat Hal Ehwal Pelajar. Aktiviti bersama pengetua, felo, staf dan para MPK juga telah diadakan bagi memupuk kesepakatan sebagai sebuah organisasi.

 Pada hari Selasa, 19 September 2023 pula, aktiviti riadah “Selamatkan Ratu Lebah” diadakan bagi memupuk semangat bekerjasama dan berusaha untuk mencapai matlamat atau kemenangan dalam kalangan MPK. Pada slot kelapan pula, bengkel penulisan dokumen rasmi kerajaan telah dilaksanakan oleh Puan Zainor Mazwin Zainal, Pegawai Tadbir Kolej Canselor. Intipati bagi slot ini ialah, beliau memberi penerangan secara mendalam berkaitan urusan surat- menyurat dan dokumen rasmi sepanjang berurusan di pejabat.

Taklimat kesihatan mental dan pengurusan stres telah disampaikan oleh Puan Siti Nabilah Mohd Rohizat, Pegawai Psikologi, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor. Taklimat ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta bahawa kesihatan mental sangat penting bagi mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian diri. Pada slot kesepuluh pula, pembentangan kertas kerja kali pertama telah diadakan bersama felo pemantau di Dewan Kolej Canselor.

20 September 2023, pada hari Rabu yang lalu aktiviti riadah bola beracun telah dijalankan bagi merangsang tahap kepekaan dan kefokusan terhadap persekitaran di sekeliling kita. Pada slot ke-11, slot penetapan takwim semester 1 telah dilaksanakan oleh TOP MPK, dan setiap sekretariat perlu memilih tarikh dan waktu yang sesuai bagi menjalankan program yang telah dirancang. Pada waktu malam pula, slot pendanaan telah disampaikan oleh Puan Aida Fitri Binti Peli, Pegawai Tadbir Seksyen Pengesanan dan Pengukuhan Alumni Pusat Perhubungan Alumni. Beliau telah menerangkan satu persatu proses untuk menjana dana bagi menampung perbelanjaan program yang akan dilaksanakan.

21 September 2023, pada hari Khamis yang lalu, penetapan takwim serta persediaan peralatan dan logistik sebelum ke Pulau Redang telah disampaikan oleh Puan Siti Aisyah Binti Shahadan, Timbalan Ketua Felo Kolej Canselor dan Puan Mazlina Binti Ismail, Felo Kolej Canselor. Tepat pada jam 12 malam, kami bertolak ke Jeti Merang, Kuala Terengganu dan perjalanan mengambil masa kira-kira 7 jam.

22 September 2023, pada hari Jumaat yang lalu kami bertolak ke Pulau Redang dan tiba pada jam 9 pagi. Slot pada pagi tersebut diteruskan lagi dengan “Slot Penyu Senyum” yang telah disampaikan oleh Cik Nazibah Binti Kamaruddin, Felo Kolej Canselor. Pada sebelah malam pula, “Slot Penyu Menangis” telah disampaikan oleh Encik Abdul Zaidi Bin Abdullah, Felo Kolej Canselor.

 Aktiviti yang seterusnya diadakan pada hari Sabtu iaitu aktiviti Meneroka Keajaiban Agung: Menyelami Dunia Ajaib Pulau Redang telah dijalankan. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan keberanian para peserta ketika melakukan aktiviti berasaskan air. Hal ini dikatakan demikian kerana, sifat berani dapat membentuk karisma dan kredibiliti dalam diri setiap pemimpin. Aktiviti ini juga melibatkan kesemua MPK, staf, dan felo. Persiapan malam kebudayaan yang diketuai oleh Sekretariat Keseniaan dan Kebudayaan sebagai persediaan untuk Malam Pimpinan Canselor Sekretariat Kebudayaan. Selain itu, Majlis Penutupan dan Penyerahan Resolusi kepada Pengetua Kolej Canselor telah diadakan pada jam 10 malam. Majlis penutupan pada malam itu berlangsung dengan meriah diiringi dengan persembahan kebudayaan yang menarik daripada setiap kumpulan.

 Pada hari Ahad 24 September 2023, pelajar bertolak pulang ke Kolej Canselor. Sebelum pulang, kami bergambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan. Dengan segunung harapan yang tinggi, diharapkan agar Kursus Pemerkasaan Kepemimpinan Mahasiswa Tertinggi 2023 (KPKMT 2023) mampu menyuntik semangat semua MPK agar sentiasa bertekad menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

Aktiviti bermain bola tampar di Pulau Redang bagi mengeratkan silaturahim antara MPK

Semua MPK tersenyum lebar dan gembira kerana dapat menyertai aktiviti snorkeling di Pulau Redang.

Aktiviti “plogging” membersihkan kawasan Pulau Redang agar bebas daripada sampah-sarap demi mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian pulau.

Jejaka MPK semasa Malam Pimpinan Canselor Sekretariat Kebudayaan

Perhentian pelajar sebelum meneruskan perjalan ke Pasar Payang, Terengganu

Bertolak pulang ke Kolej Canselor pada 24 September 2023.

 

Tarikh Input: 05/10/2023 | Kemaskini: 06/10/2023 | fuziah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXEdPAB~