
KOLEJ CANSELOR - Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi menjadi perintis dalam menjalin hubungan erat antara alumni dan warga kolej menerusi Program Softball Legend Alumni @ Homecoming XII 2024, yang berlangsung dengan meriah di Padang Bola Sepak C, UPM.
Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Jaringan Alumni dan Kerjaya, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Canselor dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UPM, Pengurusan Kolej Canselor, Akademi Sukan, dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar. Tujuan utama program ini adalah untuk merapatkan ukhuwah antara alumni dan pelajar kolej sambil mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.
Menurut Pengarah Program, Encik Mirza Syah, program ini bukan sahaja menyediakan platform bagi alumni untuk kembali berkumpul, malah membuka peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan memberikan inspirasi kepada pelajar.
“Kami mahu alumni berasa dekat dengan kolej dan universiti ini, sambil memupuk semangat kesukanan serta meningkatkan jaringan sosial mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi acara.
Tambah beliau lagi, “Aktiviti seperti ini mampu menggalakkan pelajar untuk berinteraksi dengan alumni, sekali gus mendapat bimbingan dan inspirasi dalam aspek kerjaya dan kehidupan.”
Acara program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran, diikuti perlawanan sofbol yang berlangsung sehingga jam 5.30 petang dan ditutup dengan penyampaian hadiah serta cenderamata kepada peserta. Program ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti YBhg. Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, dan YBrs. Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff, Pengetua Kolej Canselor.
Dengan lebih 100 penyertaan, program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan keterlibatan alumni dengan kolej, selain memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Program Softball Legend Alumni @ Homecoming XII 2024 diharapkan dapat terus menjadi platform yang mengukuhkan hubungan antara alumni dan pelajar, selaras dengan moto UPM, "Berilmu dan Berbakti."
Disediakan oleh: Hasniza Hassan | 31 Desember 2024
Tarikh Input: 27/01/2025 | Kemaskini: 27/01/2025 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN