
20 Mei 2024, KOLEJ CANSELOR – Putra Canselor Festival: Generation of Siswa Madani telah diadakan bermula pada 20 Mei 2024 (Isnin) sehingga 26 Mei 2024 (Ahad). Festival ini telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor Sesi 2023/2024 dengan kerjasama ahli jawatankuasa tertinggi setiap kelab di bawah sekretariat dan Jemaah Pengerusi Blok. Festival ini merupakan program yang diadakan saban tahun dan terhenti seketika apabila pandemik melanda seantero dunia. Dahulunya, festival ini dikenali sebagai Putra Canselor Carnival (PCC) dan kini diberi penamaan semula, iaitu Putra Canselor Festival (PCF). Objektif utama festival ini diadakan adalah untuk menyahut aspirasi kerajaan dalam konsep MADANI. Festival ini juga dapat mewujudkan jaringan antara mahasiswa dengan komuniti setempat. Selain itu, festival ini meningkatkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti yang dianjurkan.

Terdapat pelbagai program dan aktiviti menarik yang diadakan sepanjang festival ini berlangsung. Penganjuran pelbagai program dan aktiviti seperti yang ditunjukkan pada poster di atas memberi impak positif terhadap kemenjadian pelajar universiti. Tidak lupa juga kepada masyarakat yang turut serta dalam festival ini. Festival seperti ini merupakan wadah dalam mewujudkan jaringan sosial antara pelajar dengan komuniti setempat, memberi peluang untuk mengetengahkan bakat sedia ada, pertukaran idea dan sebagainya.
Festival ini diserikan lagi dengan kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Bukan itu sahaja, penglibatan pelajar antarabangsa turut memeriahkan festival ini. Majlis Penutupan Putra Canselor Festival: Generation of Siswa Madani telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Fauzi Haji Ramlan yang merupakan Pengerusi UPM Holdings.
disediakan oleh : Nur Farah ‘Izzati
Tarikh Input: 04/06/2024 | Kemaskini: 04/06/2024 | fuziah

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN