PROGRAM MOBILITI NIPPON VOYAGE: JEJAK GLOBAL ANAK CANSELOR | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » PROGRAM MOBILITI NIPPON VOYAGE: JEJAK GLOBAL ANAK CANSELOR

PROGRAM MOBILITI NIPPON VOYAGE: JEJAK GLOBAL ANAK CANSELOR

 

KOLEJ CANSELOR   Program Mobiliti Nippon Voyage: Jejak Global Anak Canselor anjuran Majlis Perwakilan Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung dengan jayanya dari 1 hingga 13 Disember 2025 secara dalam talian dan fizikal di Jepun. Program ini melibatkan penyertaan seramai 10 orang pelajar Kolej Canselor bersama dua orang pegawai pengiring, iaitu Cik Nazibah Binti Kamaruddin dan Encik Wan Zaharuddin Bin Wan Abdullah. Pelaksanaan program ini bertujuan untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar melalui pengalaman pembelajaran secara langsung, di samping melahirkan mahasiswa yang berfikiran global, proaktif dan kreatif menerusi interaksi silang budaya serta memperkukuh kemahiran kepimpinan dan pengurusan pelajar.

Sebagai persediaan awal, program secara dalam talian telah dijalankan dari 1 hingga 4 Disember 2025 yang menampilkan sesi perkongsian budaya Jepun oleh Encik Johari, pelajar dari Tottori University, Jepun. Sesi ini memberi pendedahan berkaitan adat resam, etika sosial dan budaya masyarakat Jepun bagi membantu peserta menyesuaikan diri sebelum berangkat ke luar negara. Program secara fizikal bermula pada 5 Disember 2025 dengan pelbagai pengisian akademik dan budaya di beberapa lokasi utama seperti Ritsumeikan University, Kyoto, Osaka dan Kobe.

Antara pengisian utama program ialah lawatan ke Ritsumeikan University yang merangkumi lawatan kampus serta sesi bual bicara berkaitan budaya dan permainan tradisional Malaysia dan Jepun. Peserta turut berpeluang melawat Kyoto University bagi meninjau suasana pembelajaran dan persekitaran akademik di kampus tersebut, selain mendalami sejarah dan seni budaya Jepun melalui lawatan ke Arashiyama Bamboo Forest. Di Kobe, peserta menelusuri jejak Islam dengan melawat Kobe Central Mosque serta meneroka keindahan alam dan budaya setempat di Kobe Herb Garden. Program ini turut diserikan dengan lawatan ke Osaka Castle dan kawasan Dotonbori yang memberi pendedahan terhadap sejarah, identiti nasional serta budaya tradisional dan kontemporari Jepun.

Secara keseluruhannya, Program Mobiliti Nippon Voyage: Jejak Global Anak Canselor telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh pemahaman pelajar terhadap budaya antarabangsa serta membentuk mahasiswa yang berdaya saing, berpengetahuan luas dan berjiwa global. Program ini juga menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan kerjasama akademik dan budaya antara Universiti Putra Malaysia dan Ritsumeikan University ke arah kecemerlangan bersama.

Disediakan oleh: Muhamad Anas Safwan | 23 Januari 2026

Tarikh Input: 04/02/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
S, (11:32:56pm-11:37:56pm, 05 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]