
25 MEI 2024 KOLEJ CANSELOR – Program Kembara Berbasikal Canselor merupakan sebuah aktiviti yang dianjurkan semasa Putra Canselor Festival: Generation of Siswa Madani berlangsung dan diadakan pada 25 Mei 2024 (Sabtu). Program ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Sukarelawan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Bengkel Basikal UPM, Kesatuan Mahasiswa dan Pengurusan Kolej. Program ini dijalankan bagi menyedarkan para pelajar serta masyarakat betapa pentingnya amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian dan memberi impak positif kepada kesihatan tubuh yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan. Selain dapat memberi nilai tambah kepada kesihatan, stamina, penurunan berat badan dan ia juga membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Putra Malaysia dari Kolej Canselor dan kolej kediaman yang lain serta seorang pelajar dari luar kolej telah berkumpul seawal jam 9 pagi di Pentas Utama Putra Canselor Festival bersebelahan padang kawad. Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan senamrobik yang dipimpin oleh ahli jawatankuasa program. Pengetua Kolej, YBrs. Dr. Syed Agil Bin Sheikh Al Sagof, diberi penghormatan untuk melepaskan para peserta sebagai tanda bermulanya kembara berbasikal ini.

Perjalanan berbasikal sejauh 7.5 kilometer melalui laluan yang telah ditetapkan meliputi kawasan kampus dan sekitarnya. Laluan tersebut dipilih dengan teliti untuk memastikan keselamatan peserta serta memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pemandangan hijau dan indah sekitar kampus. Sepanjang perjalanan, peserta disambut dengan pemandangan taman-taman universiti, dan beberapa mercu tanda penting yang menjadi kebanggaan universiti.
Program Kembara Berbasikal Canselor berakhir dengan majlis cabutan bertuah kepada peserta yang terpilih. Hadiah disediakan untuk tujuh orang peserta yang bertuah. Tujuh cabutan telah dibuat oleh felo pemantau, Encik Abdul Zaidi Bin Abdullah yang diiringi oleh timban pengarah, Saudari Maizatul Ainaa binti Muhammad Sayuti. Acara ini diakhiri dengan sesi fotografi bersama para peserta dan ahli jawatankuasa sebagai tanda kenang-kenangan. Melalui program ini, pihak universiti berharap dapat terus menganjurkan aktiviti-aktiviti yang mendukung gaya hidup sihat dan memperkukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan warga kampus.
disediakan oleh : Nursuria Ezzati
Tarikh Input: 21/06/2024 | Kemaskini: 21/06/2024 | fuziah

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN