Program Derma Darah & Pemeriksaan Kesihatan | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » Program Derma Darah & Pemeriksaan Kesihatan

Program Derma Darah & Pemeriksaan Kesihatan

KOLEJ CANSELOR – Pada 28 Mei 2025, Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor Sesi 2024/2025 telah mengadakan satu program yang bernama Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan. Program ini berlangsung di Dewan Sri Pulasan, Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini telah berjaya menarikperhatian ramai warga kampus termasuk pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan.

Bermula dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang, program ini dianjurkan oleh Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) & Kolej Canselor dengan kerjasama beberapa agensi luar termasuk Pusat Darah Negara (PDN), Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM (HSASS), Pusat Kesihatan Universiti, UPM (PKU), Apsec, Pejabat Kesihatan Daerah, Sri Petaling (PKD), Jabatan Kesihatan Selangor, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM, Darul Syifa dan Optics85.

Tujuan utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri serta mempromosi amalan menderma darah secara berkala. Selain derma darah, pelbagai aktiviti pemeriksaan kesihatan turut diadakan seperti pemeriksaan tekanan darah, tahap glukosa, dan pemeriksaan mata.

Menurut salah seorang peserta, Wan Intan Sabrina binti Wan Abdul Samad, 21, “Program ini sangat menyeronokkan kerana dapat membantu orang ramai melalui derma darah. Saya berharap program begini dianjurkan secara berkala bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah. Saya juga berharap anak muda tampil ke hadapan untuk menyumbangkan darah demi membantu mereka yang memerlukan.”

Pelajar yang menyertai program ini atau yang hadir juga menerima merit dan cenderamata sebagai penghargaan atas penyertaan aktif mereka. Pihak penganjur melaporkan bahawa seramai 141 peserta yang telah mendaftar melalui borang Google Form. Namun demikian, terdapat juga sebilangan individu yang hadir tanpa mendaftar terlebih dahulu. Oleh itu, jumlah kehadiran sebenar tidak dapat dipastikan dengan tepat. Meskipun begitu, program ini tetap berjaya menarik penderma dan berjaya mengumpulkan sebanyak 150 atau lebih beg darah sepanjang program berlangsung. Ini menunjukkan semangat kesukarelawanan dan kepedulian yang tinggi dalam kalangan warga UPM.

Program seperti ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada kesihatan awam, malah dapat menyemai budaya prihatin dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat di kampus.

Disediakan oleh: Nafisa Dayana binti Mohamad Najip | 6 Jun 2025

Tarikh Input: 19/06/2025 | Kemaskini: 19/06/2025 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
W, (02:28:06pm-02:33:06pm, 22 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]