Program Canselor Horticare Pupuk Kesedaran Kelestarian Dan Pertanian Dalam Kalangan Mahasiswa | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » Program Canselor Horticare Pupuk Kesedaran Kelestarian dan Pertanian Dalam Kalangan Mahasiswa

Program Canselor Horticare Pupuk Kesedaran Kelestarian dan Pertanian Dalam Kalangan Mahasiswa

Kolej Canselor, 24 Mei 2025 – Program Canselor Horticare anjuran Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Canselor sesi 2024/2025 telah berjaya dianjurkan di Pentas Jubli Emas dan Tapak Fertigasi Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia. Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan teknologi pertanian moden serta usaha ke arah keterjaminan makanan melalui aktiviti penanaman cili secara fertigasi.

Program yang berlangsung dari jam 9.15 pagi hingga 2.00 petang ini menghimpunkan lebih 50 peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Canselor dan warga kampus yang berminat dalam bidang pertanian bandar. Antara yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah Dr. Muhammad Mu’az bin Mahmud, Pensyarah Fakulti Pertanian UPM yang menyampaikan ceramah bertajuk Promosi Cili @ Canselor Horticare, dan Ts. Amir Taufiq bin Sabuddin, Pegawai Pertanian Gred G10, Fakulti Pertanian UPM yang mengendalikan sesi hands-on berkaitan teknik penjagaan tanaman cili fertigasi.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Izzuddin bin Makhtar, penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada para peserta mengenai kaedah pertanian moden yang mesra alam, di samping meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap isu keterjaminan makanan negara. Tambah beliau, program ini juga selaras dengan usaha Kolej Canselor untuk menyokong agenda kelestarian dan pembangunan lestari melalui pendekatan komuniti pelajar.

Sesi dimulakan dengan pendaftaran peserta seawal jam 8.30 pagi, diikuti ceramah oleh Dr. Muhammad Mu’az yang mengetengahkan konsep fertigasi, kelebihan penanaman cili dan potensi ekonomi hasil tanaman ini di persekitaran kampus. Seterusnya, peserta dibawa ke Tapak Fertigasi Kolej Canselor untuk menyertai aktiviti amali yang melibatkan teknik pembajaan, penjagaan akar dan daun, sistem pengairan serta pengurusan serangan perosak yang dikendalikan oleh Ts. Amir Taufiq. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), peserta berpeluang mempraktikkan sendiri ilmu yang dipelajari dalam suasana sebenar.

Rata-rata peserta memberikan maklum balas positif terhadap program ini, menyatakan rasa seronok dan lebih bersemangat untuk menceburi bidang pertanian walaupun bukan dalam bidang pengajian utama mereka. Program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri secara aktif dalam projek kelestarian kolej, dan menyokong pembangunan tapak fertigasi sebagai salah satu inisiatif pertanian komuniti Kolej Canselor.

Program berakhir pada jam 2.00 petang dengan harapan agar inisiatif seumpamanya dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang. Ia bukan sahaja memperkasa mahasiswa dari segi ilmu dan kemahiran, malah menyumbang secara langsung kepada agenda pembangunan mampan universiti serta negara.

Disediakan oleh: Nur Syahidatul Iman binti Ahmad Tamizi | 24 Mei 2025

Tarikh Input: 10/06/2025 | Kemaskini: 10/06/2025 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
X, (01:23:32pm-01:28:32pm, 31 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]