
KOLEJ CANSELOR – Pada 25 Mei 2025 (Ahad) telah berlangsungnya Pesta Wau Dan Layang- Layang Canselor yang dianjurkan oleh Sekretariat Kediaman dan Kebajikan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pengurusan Kolej Canselor. Pesta Wau dan Layang-Layang Canselor telah berjaya dilaksanakan sebagai satu program yang menggabungkan unsur warisan budaya dengan pembangunan sahsiah dan kreativiti dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Program ini telah disertai oleh sebanyak 10 kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar Bacelor dan Sarjana dari pelbagai fakulti. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk mereka bentuk dan menghasilkan wau atau layang-layang secara fizikal, sekali gus menjadikan program ini sebagai medan untuk mengetengahkan bakat, ketekunan dan semangat kerja berpasukan.
Aktiviti ini tidak hanya menekankan kepada aspek seni dan reka bentuk, tetapi juga nilai murni seperti kerjasama, toleransi, dan perancangan yang sistematik. Proses menghasilkan wau dan layang-layang menuntut kreativiti tinggi serta ketelitian dalam menggabungkan pelbagai bahan asas secara manual. Daripada proses mereka bentuk, menggunting, menghias sehinggalah kepada ujian keberkesanan terbang, setiap kumpulan diuji dari segi kemahiran praktikal dan komunikasi efektif dalam pasukan. Tiga kumpulan terbaik telah dipilih berdasarkan keunikan rekaan, kemasan hasil, dan kebolehan terbang. Kumpulan A telah dinobatkan sebagai Johan, diikuti oleh kumpulan B sebagai Naib Johan, manakala kumpulan C meraih Tempat Ketiga. Ketiga-tiga kumpulan ini berjaya menampilkan karya yang bukan sahaja menarik dari segi estetika, malah memaparkan pemahaman yang mendalam terhadap elemen tradisional dan budaya Melayu.
Penganjuran program ini turut memberi impak positif dalam mengukuhkan jati diri pelajar terhadap warisan budaya tempatan. Dalam era moden yang banyak berasaskan teknologi, kegiatan seumpama ini membantu mendekatkan generasi muda kepada permainan tradisional yang sarat nilai sejarah dan simbolik. Malah, ia juga memberi ruang kepada pelajar untuk beristirahat secara sihat dan produktif daripada rutin akademik. Kesimpulannya, Pesta Wau dan Layang-Layang bukan sahaja menjadi platform mencungkil kreativiti pelajar, malah turut memperkukuh hubungan sosial dan semangat kebersamaan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif memperkasa pelajar melalui pendekatan warisan, seni, dan kerjasama berkumpulan yang membina.
Disediakan oleh: Siti Nor Amirah | 4 Jun 2025
Tarikh Input: 19/06/2025 | Kemaskini: 19/06/2025 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN