
KOLEJ CANSELOR – Pada 11 Oktober 2025 (Sabtu) telah berlangsungnya pertandingan Malam Tunas Budaya 2025 (MTB 2025) sempena Minggu Perkasa Putra 2025 (MPP 2025). Bertemakan “Pesona Warisan, Nadi Nusantara”, program ini menampilkan persembahan penuh warna-warni daripada 30 orang pelajar baharu Tahun 1 Kolej Canselor yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).
Malam Tunas Budaya merupakan salah satu aktiviti tahunan yang diwajibkan kepada pelajar Tahun 1 bagi memberi ruang kepada mereka untuk mencungkil, mengasah, dan mempersembahkan bakat seni serta kebudayaan yang dimiliki. Program ini juga berperanan penting dalam memupuk semangat kekolejian, meningkatkan keyakinan diri, dan mempererat hubungan sesama pelajar baharu melalui aktiviti berpasukan.
Para peserta telah menjalani latihan intensif selama tujuh hari, di mana mereka berusaha keras dalam menyiapkan persembahan dengan penuh dedikasi dan kerjasama. Tempoh latihan tersebut bukan sahaja menjadi wadah pembelajaran seni dan budaya, malah turut mengajar nilai disiplin, komitmen, serta tanggungjawab dalam bekerja secara berpasukan. Aktiviti kesenian seperti ini turut memperkukuh jati diri pelajar sebagai generasi muda yang menghargai serta meneruskan warisan budaya bangsa agar tidak luput ditelan zaman.
Hasil daripada kesungguhan dan kerja keras semua pihak yang terlibat, Kolej Canselor berjaya mencipta pencapaian membanggakan dalam Malam Tunas Budaya 2025 dengan memperoleh pelbagai anugerah, antaranya Naib Johan, Anugerah Kumpulan Tarian Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, dan Penghargaan Felo Kesenian dan Kebudayaan MPK Terbaik
Kejayaan ini jelas mencerminkan semangat juang dan kreativiti pelajar baharu Kolej Canselor dalam menonjolkan keunikan seni warisan Melayu di pentas universiti. Kolej Canselor merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua peserta, ahli jawatankuasa, serta Felo Kesenian dan Kebudayaan yang telah memberikan komitmen dan tenaga sepenuhnya dalam menjayakan Malam Tunas Budaya 2025: Pesona Warisan, Nadi Nusantara.
Disediakan oleh: Nurul Achora | 31 Oktober 2025
Tarikh Input: 04/02/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN