

KOLEJ CANSELOR – Majlis Perwakilan Kolej daripada Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Jom Petik Cili pada Ahad, 13 April 2025 bertempat di Tapak Fertigasi Kolej Canselor, antara Blok Keranji dan Blok Delima. Program yang bermula pada jam 8.00 pagi ini melibatkan seramai 85 orang pelajar termasuk pelajar dari Jiwa Putra yang turut serta membantu menjayakan aktiviti. Program ini bertujuan untuk menanam minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang pertanian dan memupuk kefahaman tentang bagaimana amalan pertanian boleh diterapkan dalam kehidupan seharian khususnya dalam konteks penjagaan tanaman secara mampan.
Sepanjang program berlansung, pelbagai aktiviti praktikal telah dijalankan seperti menyusun plot pokok cili, memancang pokok cili bagi menyokong pertumbuhan tanaman serta menimbang dan membungkus hasil cili yang dituai. Sebanyak 10 kilogram cili padi merah yang dipetik telah berjaya dijual kepada kedai Three Sister’s Snack Bar, manakala selebihnya dipasarkan kepada staf dan felo Kolej Canselor. Program tamat pada jam 12.00 tengah hari dengan tapak fertigasi dikemas dan disusun dengan rapi, mencerminkan semangat gotong-royong dan keprihatinan pelajar terhadap kebersihan dan keindahan persekitaran.

Melalui penglibatan secara langsung ini, para pelajar didedahkan kepada pengetahuan penting tentang cara mengekalkan kesegaran dan kesihatan pokok cili seperti pengurusan nutrien yang seimbang, teknik penyiraman yang betul, pengawalan serangga perosak dan amalan memangkas pokok bagi merangsang pertumbuhan yang optimum. Program ini turut berfungsi sebagai platform untuk memperkasa pengetahuan pelajar dalam bidang pertanian moden yang mesra alam dan memperkasa kemahiran agroteknologi yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Selain memperkukuh kemahiran teknikal dalam pertanian, program ini juga menawarkan pelbagai manfaat lain kepada pelajar dan warga Kolej Canselor. Antaranya ialah mengasah kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, kepimpinan dan komunikasi berkesan apabila peserta bekerjasama dalam aktiviti di tapak fertigasi. Program ini turut mengukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar melalui interaksi yang sihat dan bermanfaat. Dari aspek kesejahteraan mental dan fizikal, aktiviti pertanian juga terbukti mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan ketenangan minda dan memberi kepuasan apabila melihat hasil tanaman yang berjaya diusahakan.
Secara tidak langsung, program ini menyokong usaha memperkukuhkan agenda kelestarian hijau, agribisnes dan teknologi pertanian, selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia dalam memperkasa Teras A (Kelestarian Pertanian) dan Teras H (Kehidupan Kampus), khususnya elemen H3 (Persekitaran). Dengan pendedahan dan bimbingan yang diberikan, pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal yang berguna tetapi turut diasah kesedaran mereka terhadap pentingnya pertanian lestari sebagai elemen yang relevan dalam memenuhi keperluan makanan masa depan serta menjaga keseimbangan ekosistem. Diharapkan, program seperti ini dapat mencetuskan inspirasi kepada pelajar untuk terus terlibat dalam bidang agribisnes dan teknologi pertanian sekaligus membentuk komuniti kampus yang cakna terhadap kelestarian alam dan pembangunan mampan.
Disediakan oleh: Radhiah binti Johari | 13 April 2025
Tarikh Input: 19/05/2025 | Kemaskini: 19/05/2025 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN