JIWA PUTRA@CANSELOR BERSIH | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » JIWA PUTRA@CANSELOR BERSIH

JIWA PUTRA@CANSELOR BERSIH

KOLEJ CANSELOR  –  Jiwa Putra @ Canselor Bersih 2025 Tingkat Kesedaran Kebersihan Mahasiswa di Kolej Canselor

Program Jiwa Putra @ Canselor Bersih yang melibatkan seramai 38 pelajar kokurikulum telah berlangsung pada 15 November 2025 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia. Program anjuran Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan bersama Majlis Perwakilan Kolej itu telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran sivik dan tanggungjawab mahasiswa terhadap kebersihan persekitaran melalui aktiviti gotong-royong dan kerja kelestarian.

Program tersebut telah diadakan susulan isu-isu kebersihan yang semakin membimbangkan seperti pembuangan sampah tidak teratur, kawasan hijau yang terbiar, serta tandas dan blok kediaman yang kurang diselenggara. Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko penyakit berjangkit seperti denggi, sekali gus menjejaskan kesejahteraan penghuni kolej. Bagi menangani masalah tersebut, pihak sekretariat telah merangka aktiviti gotong-royong melibatkan pembersihan, kerja mengecat, dan penanaman tanaman hijau.

Para peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melancarkan pergerakan tugas. Kumpulan pertama telah mengikuti Ahli Jawatankuasa (AJK) Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan untuk melaksanakan kerja mengecat tangga laluan pejabat, membersihkan laman kolam ikan serta memotong tayar bagi tujuan penanaman pokok hiasan. Aktiviti ini dilaksanakan di kawasan sekitar laluan utama dan laman kolam yang menjadi tumpuan penghuni kolej.

Sementara itu, kumpulan kedua telah bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan untuk menjalankan aktiviti penanaman cili di kawasan fertigasi. Peserta turut diberikan pendedahan asas mengenai teknik penanaman, penjagaan awal tanaman dan kepentingan kelestarian persekitaran. Aktiviti tersebut bukan sahaja bertujuan menceriakan kawasan kolej, malah memberi pengetahuan baharu berkaitan pengurusan tanaman makanan.

Sepanjang program berlangsung, pelajar telah menunjukkan semangat kerjasama, disiplin dan keprihatinan yang tinggi terhadap tugas yang diberikan. Program ini turut menyokong Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang menekankan aspek kesukarelawanan serta kehidupan kampus. Melalui penglibatan langsung dalam aktiviti lapangan, peserta berpeluang mengasah kemahiran sosial, profesionalisme dan pembelajaran sepanjang hayat.

Secara keseluruhan, Jiwa Putra @ Canselor Bersih 2025 telah berjaya meningkatkan kesedaran kebersihan dalam kalangan pelajar serta menyumbang kepada persekitaran kolej yang lebih kondusif. Semoga pelaksanaan program ini  dapat memperkukuh imej universiti sebagai institusi yang menitikberatkan kebersihan dan kesejahteraan pelajar, di samping membentuk generasi belia yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap kelestarian persekitaran

Disediakan oleh: Syed Muhammad Sallehhuddin Al Ayuby | 12 Disember 2025

Tarikh Input: 17/12/2025 | Kemaskini: 18/12/2025 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
S, (08:52:04pm-08:57:04pm, 17 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]