
KOLEJ CANSELOR – Program Jelajah Usahawan Canselor 2026, anjuran Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej canselor sesi 2025/2026, telah berlangsung dengan jayanya pada 3 hingga 5 April 2026 bertempat di Mulyo Hotel, Port Dickson, Negeri Sembilan. Program yang dijalankan sepenuhnya secara fizikal ini telah berjaya dijalankan dengan penglibatan seramai 20 orang Ahli Jawatankuasa KC Mart sesi 2024/2025 dan Ahli jawatankuasa KC Mart sesi 2025/2026.
Program Jelajah Usahawan Canselor 2026 ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk semangat dan kesedaran keusahawanan dalam kalangan generasi muda, terutama mahasiswa yang berpotensi menjadi usahawan pada masa hadapan. Pelbagai aktiviti dan subprogram menarik telah disusun rapi untuk memberi ilmu dan pengalaman yang berguna kepada peserta di dalam program ini. Antara aktiviti utama ialah Bengkel Pemantapan Organisasi yakni sebuah sesi interaktif yang mengupas tentang strategi dan pengurusan keusahawanan. Melalui aktiviti ini, peserta dapat berkongsi pandangan mengenai idea-idea inovatif masa depan dalam dunia perniagaan terutamanya sebagai penambahbaikan dalam KC Mart.
Selain itu, latihan dalam kumpulan pertama dan kedua turut diadakan bagi mencabar pengalaman dan daya pemikiran kritis peserta tentang bidang keusahawanan. Melalui aktiviti ini, peserta bukan sahaja dapat mengenali personaliti antara satu sama lain dengan lebih erat, malahan dapat saling berkongsi pandangan dan idea mengenai sesuatu perkara. Semua aktiviti yang dirangka bukan sahaja memberikan ilmu baharu malah turut membuka ruang kepada peserta untuk berfikiran jauh dalam bidang keusahawanan.
Penglibatan peserta secara aktif dan memberangsangkan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar. Program ini secara tidak langsung menjadi platform yang berkesan untuk menyemai ilmu keusahawanan, sejajar dengan agenda kerajaan dalam melahirkan usahawan generasi baharu yang kreatif dan kompetitif.
Secara keseluruhannya, penganjuran Jelajah usahawan Canselor 2026 dilihat sebagai satu kejayaan yang wajar dicontohi, bukan sahaja kerana penglibatan aktif peserta tetapi juga impaknya dalam memperkasa semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda. Sambutan hangat terhadap program ini membuktikan bahawa usaha menyemai budaya keusahawanan harus terus diperkasa bagi memastikan pembangunan ekonomi masa depan yang lebih cemerlang.
Disediakan oleh: Batrisyia Hassan | 8 April 2026
Tarikh Input: 22/04/2026 | Kemaskini: 22/04/2026 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN