
KOLEJ CANSELOR – Program Growpreneurship Fiesta 2024, anjuran Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Canselor sesi 2024/2025, telah berlangsung dengan jayanya pada 18 hingga 24 November 2024. Program yang dijalankan sepenuhnya melalui medium dalam talian ini berjaya menarik seramai 2,220 peserta dari beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Kolej Vokasional (KV), dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh Malaysia.
Growpreneurship Fiesta 2024 dianjurkan bertujuan untuk memupuk semangat dan kesedaran keusahawanan dalam kalangan generasi muda, terutama mahasiswa yang berpotensi menjadi usahawan pada masa hadapan. Pelbagai aktiviti dan subprogram menarik telah disusun rapi untuk memberi ilmu dan pengalaman yang berguna kepada peserta di dalam program ini. Antara aktiviti utama ialah Growpreneur Future Innovation, sebuah sesi interaktif yang mengupas idea-idea inovatif masa depan dalam dunia perniagaan. Selain itu, kuiz Growpreneur Mind Mash Quiz turut mencabar daya pemikiran kritis peserta tentang keusahawanan.
Selain itu, Taklimat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah diadakan bagi memberikan penjelasan tentang proses pendaftaran perniagaan dan peraturan berkaitan. Program ini turut menampilkan sesi inspirasi yang dikenali sebagai Entrepreneur in Arises Talk, yang mengetengahkan usahawan berjaya berkongsi pengalaman, cabaran dan tips memulakan perniagaan. Semua aktiviti yang dirangka bukan sahaja memberikan ilmu malah turut membuka ruang kepada peserta untuk berkolaborasi dan berkongsi pandangan.
Penyertaan yang memberangsangkan dengan jumlah peserta seramai 2,220 orang mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA dan IPTS di negara ini. Program ini menjadi platform yang berkesan untuk menyemai ilmu keusahawanan, sejajar dengan agenda kerajaan dalam melahirkan usahawan generasi baharu yang kreatif dan kompetitif.
Secara keseluruhannya, penganjuran Growpreneurship Fiesta 2024 dilihat sebagai satu kejayaan yang wajar dicontohi, bukan sahaja kerana jumlah peserta yang ramai tetapi juga impaknya dalam memperkasa semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda. Sambutan hangat terhadap program ini membuktikan bahawa usaha menyemai budaya keusahawanan harus terus diperkasa bagi memastikan pembangunan ekonomi masa depan yang lebih cemerlang.
Disediakan oleh: Hafiz Fauzi | 18 Disember 2024
Tarikh Input: 27/12/2024 | Kemaskini: 27/12/2024 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN