FESTIVAL MADANI KOLEJ CANSELOR 50 TAHUN | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » FESTIVAL MADANI KOLEJ CANSELOR 50 TAHUN

FESTIVAL MADANI KOLEJ CANSELOR 50 TAHUN

KOLEJ CANSELOR  –  Festival Madani Kolej Canselor 50 Tahun (FESMA) telah berjaya dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Canselor sesi 2025/2026 dengan penuh meriah dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Kolej Canselor serta pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program ini diketuai oleh Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Canselor sesi 2025/2026, Saudara Ahmad Iqbal bin Mustafa yang memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Program. FESMA dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kolej Canselor melalui pelbagai aktiviti berteraskan makanan, hiburan sihat, kesukanan, dan penglibatan komuniti pelajar. Selain itu, festival ini juga berperanan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat pelajar, menggalakkan kreativiti, serta menyediakan ruang rekreasi yang lebih inklusif dan menyeronokkan.

Festival ini telah berlangsung selama seminggu, bermula pada 20 April hingga 26 April 2026, bertempat di Tapak Festival Madani Kolej Canselor serta sekitar kawasan Kolej Canselor. Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi menarik penyertaan pelajar. Antara aktiviti utama FESMA termasuklah NgapNgap Fest, Haunted House: Room 404, Showcase Riuh Ritma, Battle of Arm, dan Demam Karok yang mendapat sambutan hangat daripada semua warga Kolej Canselor.

Selain aktiviti hiburan, FESMA turut menampilkan program berbentuk kesukanan seperti Canselor Penalty Tournament dan Canselor Futsallo Tournament yang berjaya memupuk semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan pelajar. Program ini turut memperkukuhkan hubungan alumni melalui sesi ramah mesra bersama alumni Kolej Canselor.

Menariknya, FESMA juga mendapat kerjasama strategik bersama agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan Bahagian Jenayah dan Trafik, serta Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) melalui pameran kesedaran dan perkongsian maklumat kepada pelajar. Inisiatif ini memberi nilai tambah dari segi pendidikan keselamatan dan kesihatan kepada komuniti kampus.

Salah satu tarikan utama festival ini juga pemberian minyak petrol percuma kepada pengguna motosikal dalam kalangan pelajar UPM, hasil kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Koperasi Universiti Putra Malaysia (KUPUTRA). Program ini bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah meningkatkan sokongan terhadap kebajikan mahasiswa.

Majlis penutupan FESMA telah diadakan pada 26 April 2026 dengan penuh gilang-gemilang. Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Dr. Paiman bin Bawon, Pengarah KUPUTRA UPM selaku penaja utama bagi program pemberian minyak petrol percuma. Kehadiran beliau turut memeriahkan lagi acara penutupan serta menandakan sokongan padu pihak koperasi terhadap program anjuran pelajar.

Secara keseluruhannya, Festival Madani Kolej Canselor 50 Tahun (FESMA) telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh semangat kesukarelawanan, serta mewujudkan pengalaman kampus yang lebih bermakna dan berdaya saing dalam kalangan pelajar UPM.

Disediakan oleh: Nur Auni Awatif Ahmad Shaifullah | 27 April 2026

Tarikh Input: 12/05/2026 | Kemaskini: 12/05/2026 | amira_hadri

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1830 / 1832
03-9769 1830
X, (07:48:36am-07:53:36am, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]