
KOLEJ CANSELOR – Pada 17 hingga 19 Oktober 2025, Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan pelajar daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui penganjuran Allamanda Scholars and Cultural Exchange Program (ASCEP). Program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif pertukaran budaya dan kepimpinan antara dua institusi, hasil kerjasama Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Canselor UPM bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda (JPKA), UNIMAS.
Kunjungan pelajar UNIMAS ke Kolej Canselor ini merupakan lawatan balas selepas kejayaan program “Serumpun Budaya: Menyusuri Warna Nusantara – Siri Sarawak” yang telah diadakan di UNIMAS pada 12 hingga 14 Disember 2024. Kali ini, Kolej Canselor pula menjadi tuan rumah bagi meneruskan hubungan erat yang telah terjalin antara kedua-dua kolej dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik berasaskan budaya, seni, dan kepimpinan mahasiswa.
ASCEP bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara dua universiti melalui pertukaran budaya, intelektual, serta perkongsian pengalaman kepimpinan mahasiswa. Program ini juga menjadi platform bagi pelajar kedua-dua institusi untuk mendalami seni dan warisan budaya masing-masing, di samping memperkasa nilai kesepunyaan, semangat perpaduan, dan identiti kebangsaan dalam kalangan mahasiswa serumpun.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan program ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi pertukaran ilmu, bengkel kesenian, persembahan budaya, dan aktiviti interaktif yang melibatkan pelajar UNIMAS dan Kolej Canselor. Aktiviti ini bukan sahaja mempererat hubungan antara pelajar, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan kerja berpasukan dalam suasana yang lebih santai dan berunsur kebudayaan.
Penganjuran ASCEP turut menyokong Pelan Strategi HEPA di bawah Teras D, iaitu pemerkasaan kebolehpasaran graduan melalui peningkatan kemahiran insaniah pelajar. Melalui penglibatan aktif dalam program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman berharga dalam bidang kesenian dan kebudayaan, tetapi juga memupuk sikap keterbukaan, kerjasama, dan profesionalisme yang amat penting dalam dunia kerjaya masa kini.
Kolej Canselor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda, UNIMAS atas penyertaan dan komitmen mereka sepanjang program berlangsung. Semoga hubungan silaturahim antara dua institusi ini akan terus kukuh dan menjadi platform berterusan dalam memartabatkan seni, budaya, dan nilai kepimpinan mahasiswa di peringkat universiti.
Disediakan oleh: ‘Ali Imran | 2 November 2025
Tarikh Input: 04/11/2025 | Kemaskini: 04/11/2025 | amira_hadri

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN