TITANS: ROAD TO THAILAND 2023

Program Mobiliti TITANS: ROAD TO THAILAND 2023 merupakan program mobiliti pertama selepas dunia kita dilanda wabak COVID-19 . Program ini merupakan anjuran daripada Kolej Canselor yang diketuai oleh wakil pelajar, saudari Nor Adnin Ezani binti Mohd Ezani sebagai Pengarah program, saudara Ammar Haziq bin Mohd Faiz (Timbalan Pengarah) dan juga saudara Mohd Iskandar Zulkarnain bin Sukardi (Presiden Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor). 19 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melibatkan diri secara aktif yang berdestinasikan di Thaksin University, Songkhla, Thailand. 9 orang pelajar terdiri dari pelajar Kolej Canselor dan 10 orang terdiri daripada Kolej Sepuluh, Kolej Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan Kolej Empat Belas. Program telah bermula pada 21hb Februari 2023, bertolaknya pelajar ke Thailand dari Malaysia dan tamat pada 6hb Mac 2023. Kami diiringi dan dibimbing oleh 2 orang pegawai, Dr. Amrallah bin Mustafa dan Encik Hanis bin Johari. . Kami amat berterima kepada pihak UPM, Pusat Zakat, Wakaf dan Endowmen (WAZAN) UPM danPusat Antarabangsa Putra (i-Putra) UPM yang telah menyumbangkan dana yang amat membantu dan menyokong keberlangsungan program ini. Objektif utama Program Mobiliti TITANS: ROAD TO THAILAND 2023 adalah pertukaran budaya bersama negara luar dan sukarelawan membersihkan pantai di Samila Beach, Thailand. Selain itu, memupuk mahasiswa dalam membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi yang lebih efektif dan efisien.
Pada hari kedua program iaitu pada 7 Februari 2023, kami tiba di Thaksin University Songkhla dan disambut mesra oleh Dr. Khwanchit Suwannoppharat dari bahagian Pembantu Presiden untuk urusan antarabangsa Thaksin University bersama-sama pelajar Thaksin University dengan penuh ramah mesra dan tangan yang terbuka. Setelah itu, kami meneruskan aktiviti yang pertama iaitu sesi ice breaking bersama pelajar Thaksin University. Kami juga melakukan aktiviti bersama dan bertukar pendapat bagi meluaskan jaringan hubungan ke peringkat antarabangsa.


International Student Conference merupakan antara aktiviti pertukaran idea antara dua universiti mengenai pembangunan pelajar. Konferens ini turut hadir oleh Pengetua Kolej Canselor, Prof. Madya Dr. Amini Amir sebagai Keynote Speaker dengan topik yang dibawa ialah Student Development and Universiti Putra Malaysia. Beliau mengkongsikan bagaimana budaya di UPM dapat membentuk mahasiswa mahasiswi UPM untuk menjadi modal insan yang bertauliah dan berdedikasi. Tidak lupa juga Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang, Pengarah Pusat Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen (WAZAN) UPM sebagai Keynote Speaker kedua dengan topik yang dibawa ialah Wakaf and Student Development. Beliau menceritakan dengan wujudnya organisasi seperti ini dapat membantu golongan asnaf dan fakir miskin dalam menuntut ilmu dan membuka peluang yang lebih luas seperti sambung belajar di luar negara.

(International Student Conference)
![]() |
![]() |
| (Keynote Speaker, Prof. Madya Dr. Amini Amir) | (Keynote Speaker, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang) |
![]() |
![]() |
|
(Iskandar, wakil pelajar dari UPM) |
(Sorus, wakil pelajar dari Thaksin University) |
Kami dibawa bersiar-siar sekitar kampus diiringi oleh pelajar-pelajar dari Thaksin University melihat suasana harian di universiti tersebut. Pelbagai bentuk budaya baharu yang tiada di Malaysia diperkenalkan dan diberi tunjuk ajar cara pembelajaran di sana. Budaya di negara Thailand yang berbeza di negara kita yang mana bilangan penduduk orang Islam adalah minoriti menyebabkan gaya hidup di sana sedikit berlainan. Antaranya, kedai-kedai di kantin universiti itu yang menjual makanan halal terletak di satu bahagian hanya untuk pelajar muslim sahaja dan tidak disekalikan dengan kedai yang menjual makanan yang tidak halal. Begitu juga dengan pinggan mangkuk bagi kegunaan pelajar muslim adalah pinggan yang berwarna-warni manakala untuk pelajar bukan Islam, pinggan mereka berwarna kelabu. Hal ini bukan sahaja memudahkan pelajar Islam tetapi, menunjukkan suasana yang lebih komprehensif untuk masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama.

Muzium Folklore Museum The Institute for Southern Thai Studies, Thaksin University merupakan muzium yang menceritakan sejarah penduduk Thailand pada zaman 80-an dan 90-an. Muzium tersebut merupakan hak milik Thaksin University yang bertempatkan di Ko Yo, Thailand. Kami dibawa ke 43 check point termasuklah pengelanan kepada tarian tradisional masyarakat Thailand yang berbeza dengan tarian di Malaysia namun, masyarakat Thailand juga mempunyai Wayang Kulit seperti di negara kita. Perbezaan perkembangan manusia di tempat yang berbza memberikan input yang bermanfaat dan membuatkan para peserta berfikir akan keunikan negara Thailand.


Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar Thaksin University juga membawa peserta Titans ke lokasi-lokasi bersejarah atau aktiviti ini dipanggil “Culture Tour” di daerah Songkhla. Pekan Songkhla ini terletak di tenggara Thailand, menghadap laut China Selatan. Reka cipta bangunan di tempat tersebut menggambarkan keunikan dan identiti di kota kecil tersebut. Kami berjalan bersama-sama pelajar Thaksin University mengelilingi bandar tersebut sambil menikmati pemandangan laut. Ini merupakan peluang dan ilmu pengetahuan yang dapat dirasai sendiri oleh para peserta secara realistik.

Kami juga berpeluang merasai aktiviti sukan di kampus Thaksin University. Antara sukan yang dipertandingkan ialah badminton, gusti, bola sepak dan bola tampar dan dilakukan secara serentak. Acara sukan kebiasaannya akan dilakukan pada waktu malam untuk mengelakkan daripada waktu kuliah mahasiswa terganggu. Perlawanan sukan ini dipertandingkan mengikut fakulti masing-masing. Wakil-wakil pelajar daripada Thaksin University juga merupakan salah seorang atlet yang menyertai acara sukan. Oleh itu, kami dapat merasai sendiri suasana sukan yang meriah dan enegertik. Sukan di sini umpama Sukan Kolej (SUKOL) yang dilakukan di dalam UPM. Namun, sambutan di universiti ini lebih tinggi dan menjadi kewajipan bagi para pelajar untuk hadir memberi sokongan dan sorakan. Fasiliti di universiti tersebut membuatkan kami berasa kagum kerana kemudahan yang lengkap dan mencukupi walaupun banyak acara yang dipertandingkan dalam waktu yang sama.

Aktiviti sukarelawan merupakan salah satu aktiviti utama program ini. Aktiviti kesukarelawanan mengutip sampah dilakukan selama 2 hari di sana bertempatkan di pantai Samila Beach dan Songkhla City Park. Aktivti ini diadakan bagi memupuk kesedaran terhadap orang awam dan juga para peserta akan kebersihan alam sekitar perlu dijaga tidak kira di mana jua berada. Secara tidak langsung dapat menanamkan rasa cinta akan alam sekitar pada diri setiap peserta. Hasil kutipan sampah di Samila Beach adalah seberat 30 kilogram dan di Songkhla City Park adalah sebanyak 35 kilogram.

(Sukarelawan di Samila Beach)

(Sukarelawan di Songkhla City Park)
Tidak dilupakan juga aktiviti melawat ke masjid masjid yang berada di Songkhla dan Hat Yai. Pelbagai masjid kami terokai bagi merasai bagaimana masyarakat Islam di Thailand menunaikan solat fardu dan juga aktiviti-aktiviti di masjid. Masjid yang terbesar kami lawati di Hat Yai ialah Central Mosque of Songkhla Province.

Selain itu, Campus Tour atau lawatan ke fakulti-fakulti dilakukan di Prince Songkla University yang terletak di Hat Yai, Thailand. Sepanjang aktiviti ini, kami mengetahui sistem pembelajaran dan pendidikan di Thailand yang luas dalam bidang sains dan kejuruteraan. Kami dapat lihat bahawa mereka menitiberatkan kreativiti pendidikan mereka bagi menarik perhatian pelajar untuk menimba ilmu dengan cara yang lebih menarik. Kaedah pembelajaran yang pelbagai beserta kemudahan yang diberikan kepada pelajar menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi. Contohnya, muzium berkaitan sains dan perpustakaan mini boleh didapati di fakulti Sains dengan mudah tanpa perlu pergi ke perpustakaan utama untuk mendapatkan buku rujukan dan bahan belajar. Begitu juga di fakulti kejuruteraan yang menyediakan makmal yang berbeza mengikut teras dan kemahiran yang tertentu.Bahan bacaan juga mudah didapati di ruang legar koridor.


(Fakulti Kejuruteraan)

(Fakulti Sains)
Akhir sekali, kami sempat melawat ke kedutaan Malaysia yang berada di Thailand dan terletak di Songkhla iaitu Consulate General Of Malaysia Songkhla.

Sepanjang keberadaan di Thailand, kami merasakan bahawa masyarakat di sana lebih mesra dan ramah terhadap tetamu yang hadir. Kami mendapat layanan yang baik dan merasakan keakraban bersama pelajar Thaksin University yang banyak meluangkan masa bersama kami. Mereka tetap bertegur sapa sehinggalah ke hari ini walaupun hanya melalui media sosial. Mereka sentiasa bersemangat berkomunikasi dengan kami meskipun bahasa yang digunakan adalah berbeza. Secara amnya, sesetengah penduduk Thailand boleh berbahasa Melayu sama ada loghat pantai timur atau loghat Kedah. Ini, serba sedikit memudahkan komunikasi dua hala bersama mereka tanpa terlalu berharap pada juru bahasa. Kesemua makanan yang kami cuba sangat sedap dari hari pertama kami sampai di Thailand sehinggalah hari terakhir kami di sana. Apa yang boleh dikatakan, di sana adalah ‘Syurga Makanan’.
Disedakan oleh,
Pengarah TITANS: ROAD TO THAILAND 2023,
Nor Adnin Ezani binti Mohd Ezani
Tarikh Input: 07/08/2024 | Kemaskini: 07/08/2024 | fuziah

PEJABAT PENTADBIRAN
KOLEJ CANSELOR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN