IHYA’ RAMADAN KOLEJ CANSELOR 2024 : MADRASAH RAMADAN KEMBALI LAGI UNTUK WARGA KOLEJ CANSELOR | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » IHYA’ RAMADAN KOLEJ CANSELOR 2024 : MADRASAH RAMADAN KEMBALI LAGI UNTUK WARGA KOLEJ CANSELOR

IHYA’ RAMADAN KOLEJ CANSELOR 2024 : MADRASAH RAMADAN KEMBALI LAGI UNTUK WARGA KOLEJ CANSELOR

disediakan oleh Nur Aliyah

UPM SERDANG – Ihya’ Ramadan Kolej Canselor 2024 telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama yang erat daripada beberapa pihak tertentu. Program ini telah berlangsung sepanjang bulan Ramadan iaitu bermula pada tarikh 17 Mac 2024 hingga 5 April 2024 bertempat di Kolej Canselor. Program ini juga melibatkan 50 orang pelajar asnaf dan b40 serta seluruh warga Kolej Canselor, para felo dan staf Kolej Canselor.

Program ini dilaksanakan atas dasar keprihatinan sesama umat Islam bagi memenuhi aktiviti umat Islam yang ingin meraih seberapa banyak pahala dan ganjaran dengan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bermanfaat sepanjang bulan Ramadan di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Terdapat beberapa subprogram dibawah Program Ihya’ Ramadan Kolej Canselor 2024 pada sesi yang ini telah berjaya dilaksanakan. Antaranya ialah, Program Memasak Bubur Lambuk, Majlis Khatam Al-Quran, Majlis Halaqah Al-Quran, Solat Terawih dan Witir Berjemaah dan Majlis Penyampaian Sumbangan Berbuka Puasa Kolej Canselor,

 Sebaik sahaja pelajar pulang ke kolej daripada cuti semester, Solat Terawih dan Witir Berjemaah telah dilakasanakan di Dewan Kolej Canselor pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan. Ramai pelajar melibatkan diri untuk turun ke dewan bagi bersama-sama menjalani ibadah utama pada bulan Ramadan yang mulia itu.

 

Pelajar muslim Kolej Canselor Solat Terawih secara berjemaah di Dewan Kolej Canselor.

 

Pada hari Khamis 28 Mac 2024, Majlis Halaqah Al-Quran Ramadan (HAQ) dijalankan. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Geng Ngaji Global diikuti oleh seramai 30 orang peserta yang terlibat dalam menjayakan program ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah semakan bacaan dalam solat dan tatacara solat yang betul. Peserta telah diberikan kit ramadan yang mengandungi kelengkapan pelajaran seperti pen, buku nota, beg, Al-Quran dan juga duit raya.

 Peserta sedang fokus mendengarkan ustaz mengajar.

 

Pada hari Jumaat 29 Mac 2024, Majlis Khatam Al-Quran pula dijalankan. Program ini bermula sebaik sahaja selepas solat terawih dijalankan. Peserta khatam Al-Quran yang terlibat adalah dari kalangan Majlis Perwakilan Kolej Canselor dan pelajar Kolej Canselor berjumlah 22 orang yang diketuai oleh Haikal, MPK Sekretariat Perpaduan dan Kerohanian. Seramai 60 orang pelajar daripada warga Kolej Canselor turut menyertai bersama-sama di dalam majlis tersebut. Majlis tersebut diakhiri dengan pemberian cenderamata kepada pembaca khatam Al-Quran dan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.

 

 Para pembaca Majlis Khatam Al-Quran sedang mengalunkan bacaan Al-Quran.

Pada hari Sabtu 30 Mac 2024, Program Memasak Bubur Lambuk telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA). Program ini bermula seawal jam 9 pagi dengan persediaan bahan masakan seperti aktiviti membasuh ayam, beras dan memotong bawang. Seterusnya, penyediaan peralatan memasak dilakukan oleh kumpulan pelajar memasak. Acara memasak bubur lambuk ini dibimbing oleh Puan Siti Aishah, figura yang sangat berpengalaman dan sentiasa menjadi rujukan pelajar untuk program memasak khususnya. Pada sebelah petang pula, setelah bubur lambuk siap dimasak, tugasan seterusnya ialah membungkus dan mengemas tempat memasak. Sebanyak 300 bungkusan bubur lambuk berjaya dibungkus dan diagihkan kepada semua warga Kolej Canselor.

 

Penyampaian bubur lambuk oleh Prof. Madya Dr Amini Amir kepada wakil Majlis Perwakilan Kolej Canselor yang diiringi oleh Ketua Pengarah Program Bubur Lambuk, iaitu wakil daripada SISPA, saudara Adam.

 

Pada hari Ahad 31 Mac 2024, Majlis Penyampaian Sumbangan Berbuka Puasa Kolej Canselor dijalankan anjuran bersama Pertubuhan Multaqa Asatizah Dan Du’at (MURSHID), Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Sumbangan berbuka puasa ini telah disumbangkan oleh pihak MURSHID dan MDN berbentuk makanan berbuka puasa dan juga moreh. Seramai 50 orang pelajar asnaf telah menerima sumbangan ini dan juga 150 pemberian sumbangan makanan kepada seluruh warga Kolej Canselor.Terdapat juga sedikit Tazkirah Ringkas berkaitan dengan Bulan Ramadan yang telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Mohammad Nidzam Abd Kadir, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia. Program ini diakhiri dengan solat fardhu Maghrib dan Isyak berjemaah dan diteruskan dengan Solat Sunat Terawih dan Witir berjemaah. Semoga pihak penyumbang diberikan limpahan rezeki yang berganda.

Penyampaian sumbangan berbuka puasa oleh Prof. Madya Dr Amini Amir kepada pelajar Kolej Canselor yang diiringi oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman Daripada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Sebagai penutup, diharapkan program yang telah berjaya dianjurkan ini mampu untuk mengasah kemahiran insaniah serta keupayaan yang cekap dan berkesan dalam kalangan mahasiswa dalam pengurusan program kerohanian di bulan Ramadan khususnya. Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada sesi hadapan dengan lebih baik dan meriah.

 

 

Tarikh Input: 07/05/2024 | Kemaskini: 07/05/2024 | fuziah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXFUOAH~