Warga UPM Tanam 100 Pokok Mangga Dan Mesta | KOLEJ CANSELOR
» ARTIKEL » Warga UPM tanam 100 pokok mangga dan mesta

Warga UPM tanam 100 pokok mangga dan mesta

  • Oleh MUHAMMAD FARID AHMAD TARMIJI
  • 23 Oktober 2023, 9:00 am
  • Sumber : kosmo online

 

 

WARGA UPM dan pelajar QUT yang terlibat dalam aktiviti penanaman pokok di Ladang Puchong, UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

 

MENJAGA alam sekitar serta biodiversiti adalah tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat.

Oleh yang demikian, semua orang harus melibatkan diri dalam aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada alam sekitar serta biodiversiti.

Kylie Van Duyn, 20, yang merupakan pelajar dari Queensland University of Technology (QUT), Australia tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti penanaman pokok di Ladang Puchong, Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Ini adalah pengalaman pertama saya menanam pokok. Saya gembira melakukannya kerana pokok-pokok yang ditanam ini mempunyai fungsinya tersendiri kepada alam sekitar.

“Jika diberi peluang pada masa hadapan, saya ingin datang semula ke UPM dan merasai buah-buahan daripada pokok-pokok yang saya tanam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pertanian Putra UPM, Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata, menerusi aktiviti tersebut, mereka telah menanam dua jenis tanaman iaitu pokok mangga dan mesta (mirip manggis).

Menurutnya, dua jenis tanaman tersebut dipilih kerana kawasan berkenaan telah disusun atur untuk tanaman terpilih.

“Di Ladang Puchong ini kita memberi fokus kepada pembelajaran, pendidikan dan pengembangan tanaman buah-buahan terpilih.

“Pada hari ini, kita telah menanam lebih 100 pokok untuk kedua-dua tanaman berkenaan,” katanya.

 

PARA pelajar UPM dan QUT berpeluang mempelajari cara penanaman pokok dengan betul.

 

Tambahnya, pelaksanaan kempen itu seiring dengan dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ia bagi meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup, selain usaha menambah baik ekosistem serta biodiversiti negara kita.

Selain itu, ia dapat memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

Dalam pada itu, aktiviti penanaman pokok tersebut merupakan sebahagian daripada program di bawah The New Colombo Plan 2023 antara Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) UPM dan QUT.

Koordinator program, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata, objektif pelaksanaan aktiviti tanaman pokok itu adalah untuk menghijaukan Malaysia seiring matlamat kerajaan.

“Kita juga mahu memberikan kesedaran dan pengetahuan berkenaan pokok dan penjagaan alam sekitar.

“Malah, kita ingin memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar daripada QUT ini pengalaman berkenaan proses menanam pokok,” terangnya.

Dalam pada itu, Siti Suriawati berkata, pelbagai aktiviti lain disusun sepanjang program itu berlangsung.

Antaranya termasuklah melakukan penyelidikan tentang pokok-pokok spesies hutan yang ditanam semula.

Para peserta akan berada di dalam hutan selama lima hari untuk melakukan penyelidikan tersebut.

“Mereka akan mengkaji tapak-tapak pokok yang ditanam selama 25 tahun, 15 tahun dan 10 tahun.

“Kajian yang dilakukan adalah untuk melihat tumbesaran, kelebaran daun, kesesuaian kawasan tanaman dan lain-lain lagi,” bicaranya.

Ulasnya, melalui kajian itu, pihaknya dapat mengetahui bahawa kawasan berkenaan sesuai atau tidak untuk penanaman pokok.

 

 

Tarikh Input: 21/03/2024 | Kemaskini: 21/03/2024 | fuziah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXEcGAo~