Bahasa Melayu : Cabaran Dan Dugaan Dunia Tanpa Sempadan | KOLEJ CANSELOR
» ARTIKEL » Bahasa Melayu : Cabaran dan Dugaan Dunia Tanpa Sempadan

Bahasa Melayu : Cabaran dan Dugaan Dunia Tanpa Sempadan

Dunia tanpa sempadan, era globalisasi, dan era siber merupakan beberapa nama yang diberikan kepada zaman sekarang, iaitu abad ke-21. Era siber yang bermula di Amerika Syarikat pada awal abad ke-21 itu telah melahirkan budaya siber yang begitu berbeza. Konsep budaya siber yang lahir daripada era siber telah mula diperkatakan oleh William Gibson, yang telah mencipta istilah ruang siber dalam karyanya yang bertajuk Neuromancer, pada tahun 1984.

Dalam era globalisasi ini kita berdepan dengan konsep dunia tanpa sempadan atau borderless world dan kita tidak memerlukan sebarang kebenaran untuk mengetahui tentang negara lain. Walaupun jarak beribu batu, tetapi dengan adanya teknologi, dunia semakin kecil.

Segala aspek kehidupan manusia, termasuk bahasa menghadapi pelbagai cabaran. Salah satu perkara yang menunjangi perubahan arus perdana dunia siber ini ialah teknologi maklumat (Information technology). Teknologi maklumat mula bertapak di Malaysia menjelang era 90-an. Kini, teknologi sudah mampu berdiri teguh membentuk satu revolusi yang baru di negara ini. Aspirasi kerajaan memberi satu pendekatan baru yang lebih maju dan mampu bergerak seiring dengan arus persaingan pada alaf baru ini.

Teknologi maklumat yang diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektrik telah menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer, telekomunikasi multimedia, dan sebagainya. Teknologi maklumat ialah suatu ilmu penggunaan dan satu bentuk komunikasi antara pelbagai pihak. Teknologi ini berfungsi sebagai medan rangkaian maklumat yang merangkumi semua dimensi kehidupan manusia.

Era ini juga memperkenalkan kita kepada sistem perhubungan komunikasi yang semakin canggih. Dengan menggunakan telefon mudah alih yang semakin kecil, kita dapat berhubung ke serata dunia dalam sekelip mata. Fenomena ini dapat kita beri gelaran sebagai ‘dunia hanya berada di dalam saku kita’ sahaja (Syed Muhammad Dawilah al-Edrus, 2002).

Apabila membicarakan perkara berkaitan teknologi maklumat (Information technology), tanpa kita sedar kita juga sedang membicarakan perubahan budaya baharu yang dicetuskan oleh revolusi teknologi maklumat dan ledakan pengetahuan yang disertai oleh pengaruh globalisasi yang membawa idea liberalisasi budaya dan bahasa.

Teknologi maklumat memainkan peranan penting dalam hidup manusia masa kini. Teknologi dahulunya merupakan satu gaya hidup golongan tertentu, kini menjadi satu kemestian dalam kehidupan kita seharian. Teknologi komunikasi membolehkan kita berkomunikasi pada jarak jauh dan mendapatkan maklumat yang dahulunya mungkin sukar didapati dengan pantas, cekap, dan banyak. Hari ini, teknologi komunikasi telah menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan manusia (Musa Abu Hassan, 2002).

Setiap orang tidak mampu untuk menolak gelombang perubahan yang dibawa bersama teknologi maklumat kerana teknologi tersebut ditunjangi oleh ilmu pengetahuan, maklumat, dan ilmu yang berubah secara pantas.

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi bertujuan untuk mewujudkan satu golongan masyarakat yang berteraskan maklumat atau informasi untuk membolehkan mereka bersaing pada peringkat global. Dewasa ini kita amat sedar perubahan radikal dalam kehidupan kesan pendedahan kepada teknologi maklumat, tetapi kurang menyedari kesan teknologi tersebut.

Dalam keghairahan kita untuk mempelbagaikan peralatan dan kegunaan teknologi maklumat, kita terlupa kesan penggunaannya terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Menurut Noriah Mohamed (2005) dianggarkan bahawa 80% tapak jejaring yang kini adalah dalam bahasa Inggeris, walaupun diramalkan bahawa peratusan itu akan menurun dengan perkembangan tapak jejaring dalam bahasa lain seperti bahasa Peranchis, Sepanyol, Arab, dan Cina (Awang Sariyan, 2005).

Kenyataan ini memperlihatkan kepada kita betapa kurangnya aktiviti yang melibatkan bahasa Melayu, bahasa ibunda kita sendiri dalam dunia siber. Tiada usaha dilakukan untuk mempromosikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa melalui dunia siber. Pelbagai laman web yang diwujudkan di Malaysia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan bahasa Melayu diletakkan sebagai bahasa alternatif di dalam laman web tersebut.

Bahasa Melayu suatu ketika dahulu merupakan bahasa yang mengandungi kekayaan dari segi rangkaian dan bunga bahasanya. Bahasa Melayu digunakan bukan sahaja untuk menyampaikan maksud secara halus dan tertib, tetapi menggambarkan kepada kita pencapaian kebolehan daya intelektual pemikiran penutur melalui bahasa kiasan, pantun, perumpamaan, bidalan, dan sebagainya. Malah bahasa Melayu juga diiktiraf sebagai salah satu bahasa yang memiliki ciri bahasa antarabangsa. Menurut James T. Collins, bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa antarabangsa kerana sentiasa memperlihatkan ciri antarabangsa sejak zaman prasasti lagi (Azhar Salleh, 2005).

Kehadiran telefon bimbit jenis wap dan android yang berkebolehan menghantar mesej dengan keupayaan e-mail dan internet, merupakan teknologi yang menuntut supaya dalam perhubungan antara pengguna peralatan tersebut, bahasa yang digunakan biarlah berbentuk pendek, jelas dan kalau boleh bersifat ikonik. Ini bererti manusia Melayu yang terbawa dalam arus perkembangan teknologi seperti itu akan kian kurang mengamalkan kekayaan bahasa, sebaliknya mula mempopularkan bahasa segera.

Kita tidak menafikan kesan positif yang dibawa arus kemajuan teknologi maklumat hari ini, tetapi begitu bimbang dengan ancaman yang berlaku ke atas sistem bahasa Melayu kesan daripada penggunaan teknologi tersebut. S. Nathesan (2005) menjelaskan, namun begitu, banyak perkara yang berlaku dalam masyarakat bahasa tersebut mula diancam. Hal yang sedemikian sudah berlaku dalam kebanyakan bahasa di dunia, dan bahasa Melayu tidak terkecuali dalam hal tersebut.

Rohaidah Mashudi dan J. Sham Wahid (2005) mengatakan, kecanggihan dalam penggunaan telefon bimbit juga sebenarnya mendatangkan kegoyahan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dalam dunia pendidikan. Sekali lagi kedudukan bahasa komunikasi ini diabaikan dan diubah suai, terutama apabila mereka menggunakan sistem mesej singkat (sms) ataupun pelbagai aplikasi terbaharu seperti Whatapps, Wechat, Line dan sebagainya.

Kekacauan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi berantara teknologi seperti telefon bimbit dan komputer mendapat perhatian daripada beberapa pihak. Fenomena ini dilihat sebagai satu ancaman kepada penggunaan bahasa Melayu yang lebih harmoni walaupun tidak gramatis. Ada yang berpendapat fenomena pencemaran bahasa melalui sms ataupun aplikasi perhubungan yang lain dan ruang sembang (chat room) di internet (facebook, twitter dan lain-lain) bersifat sementara dan akan berakhir apabila teknologi komunikasi yang lebih canggih diperkenalkan. Kita tidak harus menunggu masa tersebut tiba tanpa apa-apa tindakan dan kemungkinan keadaan sudah terlewat untuk membetulkan keadaan semasa teknologi komunikasi hari ini diganti dengan teknologi yang lebih canggih. 

Oleh itu, pelbagai persoalan timbul dalam usaha kita untuk memantapkan dan memperkasa pengaruh, peranan, kedudukan, dan status bahasa Melayu pada era siber yang begitu mencabar ini. Keadaan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara.

Oleh : Abdul Hadi Abd Rashid

Jawatan : Pengurus Kolej Canselor

Tarikh Input: 02/08/2017 | Kemaskini: 02/08/2017 | ABDULHADI@PUTRA.UPM.EDU.MY

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXEUPA7~