Kembara Ilmu Bersama Pelajar Orang Asli 2024: Penyatupaduan Mahasiswa Bersama Pelajar Orang Asli | KOLEJ CANSELOR
» BERITA » Kembara Ilmu Bersama Pelajar Orang Asli 2024: Penyatupaduan Mahasiswa Bersama Pelajar Orang Asli

Kembara Ilmu Bersama Pelajar Orang Asli 2024: Penyatupaduan Mahasiswa Bersama Pelajar Orang Asli

disediakan oleh Nur Atirah Liyana

 

21 Januari 2024, Ahad- SMK ULU KINTA, ULU KINTA, PERAK – Program Kembara Ilmu Bersama Pelajar Orang Asli 2024 (KIBPOA) yang telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, Perak merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan oleh Sekretariat Sukarelawan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Canselor Sesi 2023/2024 yang diterajui oleh saudari Nur Nabila Shahirah Salim sebagai Pengarah KIBPOA  2024. Program ini melibatkan seramai 47 orang sukarelawan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Sekretariat Sukarelawan Kolej Canselor Sesi 2023/2024 dengan kerjasama sukarelawan daripada Briged Sukarelawan Mahasiswa Sesi 2023/2024, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, diiringi oleh Cik Nazibah binti Kamaruddin selaku felo pemantau bagi Sekretariat Sukarelawan, Majlis Perwakilan.

Kolej Canselor Sesi 2023/2024. Program KIBPOA 2024 yang diadakan untuk mencapai elemen-elemen yang dinyatakan dalam pelan strategik H.E.P.A 2021-2025 iaitu teras 3 kesukarelawanan yang berfokuskan kepada domain khidmat komuniti dan kemasyarakatan serta alam sekitar, dan merealisasikan Ikhtiar 3 iaitu Menjulang Pemerkasaan Mahasiswa dalam Naratif Naib Canselor UPM 2023. Pelaksanaan program ini berbentuk Hands On (Play and Learn) dengan bertemakan “Memasyarakatkan Teknologi” yang berfokuskan aktiviti celik IT dan kepentingan pendidikan dalam membangunkan masyarakat khususnya pelajar orang asli di SMK Ulu Kinta, Perak.

Pengisian bagi KIBPOA 2024 yang berlangsung selama 2 hari 1 malam (19 dan 20 Januari 2024) ini antaranya ialah simulasi modul dan aktiviti yang telah diadakan di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar bersama - sama dengan barisan fasilitator pada 19 Januari 2024. Simulasi diadakan sebagai persediaan awal untuk memastikan aktiviti yang bakal dilaksanakan di SMK Ulu Kinta mengikut perancangan seterusnya memberi ruang kepada barisan fasilitator UPM dan UiTM  untuk bertukar pandangan dan cadangan penambahbaikan bagi menjayakan program ini.

Pada 20 Januari 2024, KIBPOA 2024 dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh saudara Gabriel Lesliey bagi meningkatkan semangat dan keterujaan pelajar di samping sebagai aktiviti pemanasan badan bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada pelajar. Program diteruskan dengan modul 1 iaitu sesi pemecahan bongkah ais yang diketuai oleh saudara Ameer Haziq bin Abdul Aziz. Pelajar dikehendaki membentuk kumpulan berdasarkan padanan susunan suai logo universiti di Malaysia iaitu logo Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sesi ini diadakan bertujuan untuk mengenali barisan fasilitator yang akan bersama-sama mereka sepanjang program ini.

Seterusnya, aktiviti “What is Next After School?” dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar orang asli SMK Ulu Kinta tentang universiti yang terdapat di Malaysia. Objektif lain aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk memberi pengenalan tentang UPM dan juga UiTM kepada para pelajar. Pelajar ditunjukkan dengan fasiliti yang terdapat di universiti bagi menarik minat mereka untuk masuk ke universiti. Bagi aktiviti “Explore the Sciences” pula bertujuan untuk menambah pengetahuan pelajar orang asli di SMK Ulu Kinta tentang sains dan teknologi menerusi aktiviti yang menarik seperti penghasilan aiskrim menggunakan garam dan ais dalam masa yang singkat, eksperimen lava gunung berapi, projek penapisan air dan sebagainya. Hal ini dapat menarik  minat pelajar untuk mempelajari sains dan teknologi dengan lebih mendalam.

Program diteruskan lagi  dengan modul  “Microsoft for Newbie”. Melalui aktiviti ini, pelajar dikehendaki menghasilkan sebuah poster dengan bimbingan fasilitator mengikut syarat yang telah ditetapkan dengan menggunakan aplikasi Canva. Aktiviti ini membuktikan bahawa para pelajar orang asli SMK Ulu Kinta mempunyai bakat pemikiran kreatif dan penguasaan teknologi digital yang baik. Selain itu, aktiviti lain yang dilaksanakan ialah Lukisan Rosak yang dikendalikan oleh fasilitator UiTM. Aktiviti ini telah melahirkan semangat kerjasama berkumpulan dan saling mempercayai dalam kalangan pelajar orang asli. Bukan itu sahaja, aktiviti ini juga membuktikan kreativiti pelajar dalam menggambarkan sesuatu perkara supaya dapat difahami oleh orang yang berada di sekeliling.

Beberapa orang fasilitator daripada UPM dan UiTM ditempatkan di beberapa lokasi dalam pekarangan sekolah untuk penghasilan landskap dan mercu tanda. Aktiviti yang dilaksanakan adalah fasilitator mengecat dinding dan menanam pokok di taman landskap SMK Ulu Kinta. Aktiviti ini dilaksanakan sebagai sumbangan bakti berbentuk gotong-royong mengindah dan menceriakan kawasan sekolah.

 Majlis penutupan dimulai dengan dengan ucapan pengarah program iaitu saudari Nur Nabila Shahirah binti Salim diikuti dengan perasmian penutupan yang disempurnakan oleh YBrs. Puan Zaridah binti Othman, Pengetua SMK Ulu Kinta seterusnya sesi penyampaian hadiah dan cenderamata kepada setiap kumpulan pelajar. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan diantara UPM, UiTM dan SMK Ulu Kinta. Program KIBPOA 2024 telah mendapat tajaan dana tunai daripada penaja luar dan Pengurusan Kolej Canselor, Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia serta Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM.

Ahli jawatankuasa UPM bersedia untuk bertolak ke UiTM

Sesi ice breaking dan perkenalan antara ahli jawatankuasa UPM dan UiTM

 Ketibaan di SMK Ulu Kinta, Ipoh, Perak

 Aktiviti aerobik

Aktiviti ice breaking dan pembahagian kumpulan

Aktiviti ‘What is Next After School?’

  

 

 Aktiviti ‘Explore the Sciences’

 

Tarikh Input: 05/02/2024 | Kemaskini: 05/02/2024 | fuziah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXEdFAn~