UPM Cungkil Bakat Cilik Sukan Hoki | KOLEJ CANSELOR
» ARTIKEL » UPM cungkil bakat cilik sukan hoki

UPM cungkil bakat cilik sukan hoki

  • Oleh MUHAMMAD FARID AHMAD TARMIJI
  • 29 Januari 2024
  • Sumber : Kosmo online

Kanak-kanak berumur dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun menerima bimbingan hoki dalam Klinik Hoki 101 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

HOKI boleh dikatakan antara satu sukan yang mempunyai peminatnya yang tersendiri di negara ini.

Malah, pasukan hoki Malaysia turut menjadi antara pasukan hebat dan kini berada pada kedudukan ke-13 terbaik dunia dan pernah melayakkan diri untuk menyertai beberapa kejohanan besar.

Oleh yang demikian, dalam melahirkan lebih ramai pemain hoki berbakat untuk mewakili negara, kanak-kanak yang berminat dengan sukan ini harus menerima pendedahan dengan sebaiknya.

Bermatlamatkan untuk memberi pendedahan yang betul tentang sukan hoki kepada kanak-kanak, Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan program Klinik Hoki 101 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah program, Nur Hamizah Zakaria berkata, lebih 200 kanak-kanak berusia antara 8 hingga 12 tahun telah menyertai klinik hoki tersebut.

Menurutnya, mereka percaya bahawa kanak-kanak dalam lingkungan umur itu perlu dipupuk untuk menanam minat sukan hoki dalam jiwa.

“Kanak-kanak ini kelak yang akan menjadi pemain pelapis untuk mewakili negara dalam sukan hoki.

“Oleh itu, melalui penganjuran klinik ini kami memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman daripada atlet-atlet hoki negara yang menjadi tenaga pengajar bagi klinik ini,” katanya.

Seramai 13 atlet hoki yang juga merupakan pelajar dan bekas pelajar UPM telah hadir ke klinik hoki tersebut bagi membimbing kanak-kanak itu dalam sukan hoki.

Antara atlet-atlet hoki yang terlibat termasuklah Tengku Ahmad Tajuddin, Hairi Abd. Rahman, Siti Noor Amarina dan ramai lagi.

Mengulas lanjut tentang program tersebut, Nur Hamizah menjelaskan, penganjuran Klinik Hoki 101 itu juga merupakan satu program komuniti bagi kursus kokurikulum untuk subjek hoki yang dipilih oleh mereka.

Terangnya, kursus ini adalah wajib kerana ia adalah syarat untuk pelajar-pelajar ini bergraduasi.

“Untuk selesaikan kursus ini kami harus menganjurkan program ini terlebih dahulu.

“Melalui penganjuran program ini banyak perkara yang dapat kami pelajari dalam menjayakan Klinik Hoki 101 ini antaranya bagaimana cara untuk menguruskan sesuatu program dan sebagainya,” jelasnya.

Kanak-kanak ini dibimbing oleh atlet hoki yang juga pelajar atau bekas pelajar UPM.

 

Sementara itu, fasilitator untuk subjek hoki tersebut, Nabil Fiqri Mohd. Noor berkata, dalam klinik hoki itu, mereka menekankan asas kemahiran hoki dalam kalangan peserta.

Menurutnya, asas kemahiran hoki ini sebolehnya harus ditekankan pada awal usia lagi.

“Tidak semua kanak-kanak yang hadir dalam klinik ini mempunyai asas kemahiran hoki dan datang dengan kosong.

“Ada juga yang sudah mempunyai asas dan dalam klinik ini kita akan memberi kemahiran yang lebih kepada mereka,” jelasnya.

Menurutnya, antara asas hoki yang diterapkan kepada para peserta pada klinik itu adalah kemahiran memukul, menolak dan menahan bola.

Ketiga-tiga kemahiran itu penting dalam sukan hoki dan selain itu peserta juga diberi asas tentang pegangan kayu hoki.

Dalam pada itu, Nabil Fiqri menjelaskan, memberi pendedahan hoki pada awal usia adalah sesuatu yang penting.

“Kita lihat peserta yang menyertai klinik ini masih lagi muda dan mereka mudah untuk menerima ilmu yang dicurahkan oleh jurulatih.

“Apabila kita telah mendedahkan asas kemahiran bermain hoki sejak akar umbi lagi, ia akan memudahkan mereka pada masa hadapan kelak terutamanya ketika di peringkat remaja,” terangnya.

Tambahnya, apabila meningkat dewasa, mereka telah mempunyai asas dan ia sekali gus mudah untuk dibentuk menjadi pemain hoki yang hebat.

Tarikh Input: 21/03/2024 | Kemaskini: 21/03/2024 | fuziah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXEcPAu~