Sejarah Penubuhan | CHANCELLOR COLLEGE
» KOR SISPA UPM » TENTANG KAMI » Sejarah Penubuhan

Sejarah Penubuhan

Sejarah Kor Sispa

Pelaksanaan kurikulum Pertahanan Awam dijalankan oleh Jabatan Pertahanan Awam Negeri (JPA3) dan bukan secara berpusat pada tahun 1990-an. Antara IPT awal yang terlibat dengan JPA3 adalah Universiti Pertanian Malaysia Cawangan Terengganu (UPMT), Institut Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia. UPM Cawangan Terengganu (kini Universiti Malaysia Terengganu) merupakan IPT yang pertama menubuhkan Pasukan Anggota Pelajar JPA3 seramai 60 orang pada tahun 1996, diikuti oleh UUM pada tahun 1997, ITM dan UTM pada tahun 1998.

Pada tahun 1999, Pusat Kokurikulum UUM dengan kerjasama JPA3 Negeri Kedah telah menawarkan Kursus Pertahanan Awam berstruktur 4 kredit. Inisiatif itu dimulakan dengan 30 pelajar berserta 10 pensyarah dan kakitangan UUM yang mengikuti Kursus Bakal Pegawai di Pusat Latihan Pertahanan Awam, Butterworth dan seterusnya Majlis Pentauliahan pada 20 March 2000 yang disempurna Ketua Pengarah JPA3.

Pada bulan Disember 2000, penyelarasan semula kokurikulum Pertahanan Awam UiTM telah dilakukan oleh JPA3 Negeri Selangor dan seorang Pegawai Penyelaras telah dilantik untuk menguruskan kokurikulum Pertahanan Awam UiTM.

Pada 16 Januari 2002, pelancaran semula kokurikulum Pertahanan Awam di UiTM dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA3) yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Malaysia. Pelancaran
semula ini menyaksikan kokurikulum Pertahanan Awam ini diasingkan dari Unit Kesatria HEP UiTM dan bergerak dengan jenama sendiri. Ia turut menggunakan silibus pembelajaran yang digariskan oleh pihak JPA3 dan UiTM.

Di sekitar tahun 2008 dan 2009, beberapa siri perbincangan antara pihak Kokurikulum Pertahanan Awam UiTM Shah Alam dengan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Selangor untuk membawa usul penubuhan sebuah pasukan berunifom siswazah yang boleh ditauliahkan kepada pihak Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA). Usaha tersebut akhirnya telah membuahkan hasil yang mana kesemua pihak pada masa itu menerima idea penubuhan pasukan yang dimaksudkan dan bersetuju dengan beberapa perkara yang melibatkan dasar dan pelaksanaan.

Pada 6 Februari 2010 bertempat di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat UiTM Seluruh Malaysia dilancarkan secara rasmi. Pelancaran itu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada pihak JPAM untuk membuka ruang yang lebih besar kepada penubuhan Kor Sispa di IPT yang lain. Pendaftaran dan penubuhan Kor Sispa UiTM Shah Alam, Kampus Puncak Alam, Jengka, Machang dan Dungun dibuat dalam tahun 2010-2011.

Majlis Pentauliahan Kor Sispa yang pertama berjaya dianjurkan di UiTM Shah Alam pada12- 16 Disember 2010 melibatkan Pegawai Kadet Sispa daripada lima buah IPT iaitu UiTM, UMT, UNISEL, UniKL dan USIM. Majlis ini disusuli dengan pelancaran Buku Panduan Pengurusan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) yang telah disusun dan diterbitkan dengan kerjasama antara pihak IPPA, JPAM Selangor, JPAM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kor Sispa UiTM Shah Alam.

Penubuhan kursus badan beruniform di Universiti sebagai kursus kokurikulum adalah bertujuan untuk meperkasakan soft skill di kalangan pelajar. Kursus pasukan beruniform ini dapat memberi nilai tambahan kepada pelajar dari segi soft skill. Di samping penekanan kepada pencapaian akedemik yang cemerlang. Secara spesifiknya kemahiran yang dapat diterapkan melalui kokurikulum Kor Sispa ini ialah semangat kerja berpasukan, memupuk nilai jati diri dan cintakan kepada tanah air.

Updated:: 23/01/2020 [nani_mohd]

MEDIA SHARING

CHANCELLOR COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7377 / 7501
03-9769 7377
SXEZTAg~