ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN | KOLEJ CANSELOR
» ARTIKEL » ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

TIDAK berapa lama lagi Malaysia akan menyambut hari penuh bersejarah iaitu Hari Kemerdekaan yang menandakan bahawa Malaysia telah mencapai kemerdekaan genap 60 tahun.

Sekiranya diterjemahkan dalam bentuk diri seorang manusia, umur sebegini mencerminkan seorang yang boleh berfikir secara bebas, telah mencapai tahap kematangan tertinggi dan mampu membuat sesuatu keputusan dalam hidup dengan penuh kebijaksanaan.

Ia juga merupakan gambaran umur seorang yang mempunyai pengalaman luas, mampu untuk maju ke hadapan malah dapat memandu yang lain ke arah kemajuan. Dengan kata lain, negara seumur ini adalah negara benar-benar merdeka.

Namun, sebagaimana seorang manusia, sifat-sifat di atas akan hanya dapat dicapai sekiranya sebuah negara tersebut mempunyai kesatuan pemikiran dalam kalangan seluruh masyarakat dan bangsanya sehingga mereka boleh secara kolektif berfikir dan bertindak secara bijaksana, matang dan merdeka sesuai dengan umur kemerdekaannya.

Cabaran besar yang hampir pasti dihadapi dalam konteks sebuah negara ialah bagaimana menerapkan semangat kemerdekaan sebagaimana dipunyai dan dialami oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu ke atas generasi baharu. Lebih-lebih lagi apabila generasi yang ingin diterapkan semangat tersebut lahir dalam keadaan negara sudah lama merdeka. Namun semangat kemerdekaan tidak harus disempitkan hanya kepada dimensi politik sahaja.

Antara persoalan yang boleh diteliti ialah, dalam keadaan negara yang sudah merdeka, adakah cara berfikir dan cara bertindak seseorang serta cara kita menilai dan menghukum sesuatu perkara berdasarkan kepada akal yang merdeka atau ia masih dipengaruhi oleh kerangka berfikir asing atau berdasarkan kepada kerangka sempit pertubuhan yang kita dokong semata-mata.

Adakah hujah-hujah yang diketengahkan telah difikirkan dengan matang dan masak berdasarkan prinsip-prinsip akal rasional serta asas-asas agama yang unggul atau ia terpengaruh dengan pelbagai prejudis yang memang sudah tertanam dalam akal seseorang?

Contoh semasa yang dapat kita ambil ialah perbahasan dan perdebatan yang berlaku di dalam ruang siber media sosial yang menjadi wahana penting perbahasan masyarakat dalam pelbagai isu masa kini. Berapa banyak perbincangan yang berakhir dengan sumpah seranah, maki hamun dan label-melabel terutama apabila perbincangan berkait dengan isu politik dan agama?

Yang jelas, nilai-nilai kemerdekaan sebenar hampir hilang apabila jari mula memetik keyboard komputer dalam memberi komentar mengenai pelbagai isu dalam media sosial. Memandangkan media sosial dianggap satu medan yang terbuka dan bebas serta ‘merdeka’, maka ia menjadi semacam satu bentuk kegilaan tanpa batasan untuk apa sahaja bentuk pandangan dilontarkan tanpa berfikir panjang. Akhirnya media sosial menjadi ‘media kepada permasalahan sosial’ apabila ia lebih banyak menyumbang kepada perpecahan yang lebih besar dalam masyarakat berbanding kesatuan pemikiran.

Kemerdekaan siyasi, pada hakikatnya, tidak boleh berdiri sendiri. Ia harus dikaitkan dengan kemerdekaan diri hakiki manusia. Kemerdekaan hakiki pada diri manusia ialah apabila manusia dipandu oleh akalnya yang sihat dan jiwanya bersih. Kemerdekaan diri sebenar juga merujuk kepada diri yang bebas dari pengaruh-pengaruh haiwani dalam bentuk dorongan hawa nafsu dan sifat-sifat buruk yang sentiasa menarik manusia ke jurang kemusnahan.

Kemerdekaan sebenar diri manusia juga adalah apabila seseorang itu hanya tunduk dan terikat kepada Tuhan yang Maha Agung dan membebaskan dirinya dari ikatan-ikatan keduniaan dan kemanusiaan yang membelenggu keharmonian ikatannya dengan Tuhan. Ikatan dengan Tuhan ini adalah fitrah yang telah sedia terjalin sebelum kejadian manusia ke dunia ini yang dengannya manusia diikat juga dengan nilai-nilai akhlak keagamaan yang unggul. Ikatan ketuhanan ini adalah tunjang paling kukuh yang akan membuahkan nilai-nilai kemerdekaan sebenar manusia.

Hanya apabila nilai-nilai ini mantap dalam diri seseorang, media sosial tidak lagi akan menjadi wahana perpecahan dan permusuhan, akan tetapi bakal menjadi alat penting ke arah perpaduan dan kemerdekaan sebenar.

Kemaskini:: 08/08/2017 [abdulhadi]

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389467368
0389467369
C1511012776